Sejak pulang dari melawat Johor Premium Outlet (JPO) Noli belum mendapat kesempatan untuk menulis apa-apa kerana agak sibuk dan tugasan di pejabat dan luar daerah.

Noli ke JPO kira-kira 2 minggu lalu. Memandangkan kereta Noli terpaksa ditinggalkan di pusat servis kerana sebab-sebab tertentu Noli memilih untuk ke Johor Bahru dengan menaiki bas eksekutif Nice.

Bas tersebut memang sangat selesa. Tiba di Stesyen Bas Larkin Johor Bahru, Noli menaiki bas Causeway Link untuk ke JB Sentral dengan harapan tidak terlepas bas shuttle JB Sentral ke JPO.  Dari sana Noli menaiki bas ke JPO dengan tambang RM4.50.

Tiba di JPO Noli bertanya di kaunter khidmat pelanggan sama ada mereka mempunyai khidmat menyimpan bag (locker) atau tidak kerana Noli membawa bag besar dari Kuala Lumpur. Noli terkejut apabila dimaklumkan bahawa tidak ada perkhidmatan tersebut di JPO.

Bagaimana hendak menarik kedatangan pelancong-pelancong dari luar negara yang membawa backpack yang besar-besar. Takkanlah para pelancong atau mereka yang datang dari luar Johor terpaksa memikul bag besar dalam setiap outlet.

Dengan bag baju dari Kuala Lumpur Noli melawat outlet satu demi satu. Noli tertarik dengan outlet aksesori rambut Evita Peroni dan membeli aksesori kecil yang termampu di situ.

JPO penuh dengan warga Singapura. Noli turut meninjau butik Coach yang menjual beg tangan Coach pada harga RM2,000 dengan diskaun sebanyak 30 peratus. Selepas diskaun pun Noli tidak fikir masih mampu membeli bag tersebut.

Outlet lain yang Noli suka adalah butik Levi’s, pakaian dalam wanita La Senza yang membuat tawaran 10 barangan pada harga RM50, pakaian tidur Cotton On dan butik Adidas. Itu antara yang Noli beli di JPO.

Pulang dari JPO Noli terlihat jadual bas yang mengatakan ada bas ke bandaraya JB pada jam 9 malam.

Namun apabila menunggu bas berkenaan pada hampir jam 9 malam Noli dimaklumkan khidmat bas ke JB pada pukul 9 malam belum dimulakan dan Noli perlu menunggu bas ke JB pada pukul 10 malam yang biasanya bergerak pada pukul 10.30 kerana menunggu semua pekerja JPO menamatkan tugas.

Akhirnya Noli berkongsi teksi dengan pelawat Singapura. Satu teksi berharga RM45 dan kami menaiki teksi tersebut bertiga.

Noli tidak fikir untuk berkunjung lagi ke JPO dalam waktu terdekat kerana selepas melawat JPO keesokan harinya Noli membeli-belah di Pasar Geylang Serai, Kompleks Joo Chiat dan Orchard Road Singapore.

Dan Noli lebih terhibur window shop dan membeli-belah di sana berbanding JPO.