Menonton teater The Secret Life of Nora sememangnya begitu menghiburkan. Membuka tirai persembahan adalah lagu nyanyian asal Allahyarhamah Puan Sri Saloma iaitu Pandanglah Lihatlah. Ini diikuti dengan lagu lama Siapa Dia nyanyian Datin Seri Tiara Jacquelina.

Kemunculan Adibah Noor disahut dengan tepukan gemuruh oleh para peminat. Gandingan Adibah dan Tony Eusoff sering menggeletek hati penonton apalagi skrip Bahasa Melayu teater berkenaan ditulis oleh pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah iaitu Mamat Khalid.

Sepanjang hampir tiga jam persembahan penulis terhibur dengan lagu-lagu yang menarik berirama pelbagai seperti tango, irama 60-an dan sebagainya. Tarian yang dipersembahkan juga membuat penonton terpukau.

Ditambah pula dengan lawak jenaka mencuit hati. Secara peribadi penulis menganggap The Secret Life of Nora sebagai sebuah teater yang sangat menghiburkan dan boleh ditonton oleh semua golongan memandangkan ia menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Diharap The Secret Life of Nora akan turut dipentaskan di luar negara sebagaiĀ salah satu produk seni Malaysia. Silalah menonton dan sokonglah teater tempatan.