Bagi mereka yang berkunjung ke Oregon sebuah negeri di pantai barat Amerika Syarikat (AS) , Air Terjun Multnomah perlu menjadi lokasi yang wajib anda kunjungi.

Di sini anda dapat menikmati keindahan semulajadi air terjun setinggi lebih 600 kaki dan kehijauan tumbuhan yang segar dan sungguh mendamaikan jiwa.

 Mengikut  kepercayaan tradisi masyarakat asli Amerika, air terjun berkenaan dibina untuk seorang puteri yang mahukan tempat yang tersembunyi  dan jauh dari pandangan orang untuk mandi.

Tidak seperti air terjun lain di beberapa lokasi di AS, air di Multnomah tidak pernah kering mahupun berkurangan ketika musim panas. Ini kerana air hujan, air dari bawah tanah dan salji yang sudah cair menjadikan Air Terjun Multnomah mengalir berterusan sepanjang empat musim. 

Air Terjun Multnomah disenaraikan sebagai air terjun sepanjang tahun yang kedua paling tinggi di AS.

Air terjun tersebut terletak lebih kurang 30 minit perjalanan dengan menaiki kereta dari bandaraya Portland. Semakin hampir dengan kaki Air Terjun Multnomah jalan yang dilalui menjadi semakin bengkang-bengkok dan sempit.

 Para  pengunjung akan berpeluang melihat banyak kediaman gaya Amerika dengan pelbagai rekabentuk dan saiz sepanjang perjalanan ke Multnomah.

 Ketinggian Air Terjun Multnomah menjadikannya dapat dilihat dari lebuhraya berhampiran.  Ini menyebabkan Multnomah tidak putus-putus menerima kehadiran pengunjung yang terdiri daripada warga AS sendiri dan warga asing.

Kehadiran pengunjung yang ramai menjadikan tempat letak kereta air terjun Multnomah sentiasa penuh. Dari tempat letak kereta pengunjung dapat melihat kaki air terjun dengan jelas. Percikan dari air terjun berkenaan dapat dirasakan apabila berdiri berhampiran kaki air terjun.

Dari kaki air terjun, pengunjung boleh berjalan kaki menuju ke Jambatan Benson yang merentasi air terjun Multnomah. Jambatan berkenaan dinamakan Jambatan Benson sempena Simon Benson, seorang ahli perniagaan terkenal di bandaraya Portland yang pernah menjadi pemilik air terjun tersebut pada awal 1900.

Sebelum meninggal dunia, Benson menyerahkan Air Terjun Multnomah kepada pihak berkuasa bandaraya Portland. Air terjun berkenaan kini di bawah kuasa Perkhidmatan Hutan AS. 

Laluan dari kaki Air Terjun Multnomah ke Jambatan Benson sentiasa sesak dengan pengunjung yang sedang menuju ke Jambatan Benson atau dalam perjalanan turun ke kaki air terjun.

Bagi mereka yang berhasrat untuk meninjau Jambatan Benson dari dekat anda dinasihatkan supaya memakai kasut yang sesuai dan membawa pakaian tebal. Ini kerana laluan pejalan kakinya amat curam, licin dan basah. Semua ini disebabkan oleh percikan dari Air Terjun Multnomah.

Ramai  penduduk di sekitar bandaraya Portland menjadikan Air Terjun Multnomah sebagai lokasi untuk beriadah dan berekreasi. Oleh itu pengunjung pasti bertembung dengan warga tempatan yang membawa anjing kesayangan masing-masing mendaki laluan berkenaan.

Kesemua pengunjung yang dilihat membawa anjing memastikan anjing mereka diikat dan dikawal rapi setiap masa. Ini semua demi keselesaan pengunjung lain.

Sepanjang perjalanan ke Jambatan Benson juga terdapat banyak lokasi dan tempat-tempat menarik yang boleh dilihat seperti gua kecil dan plak tertentu yang memberikan banyak informasi kepada pengunjung.

Dari Jambatan Benson, pengunjung dapat melihat dengan jelas air yang jatuh deras ke kaki air terjun. Di sini kebanyakan pengunjung hanya terpukau melihat air terjun berkenaan selain menikmati keasyikan bunyi deruan air terjun tersebut.

Setelah penat berjalan ke Jambatan Benson dan pulang semula ke kaki air terjun pengunjung pasti berasa lapar atau sekurang-kurangnya ingin menikmati secawan minuman sebagai penghilang dahaga.

Di kaki air terjun, terdapat Multnomah Falls Lodge yang dibina pada tahun 1925 untuk kemudahan para pengunjung. Hari ini banglo berkenaan yang dibina dari batu-batan yang diperolehi dari kawasan berhampiran air terjun tersebut menjadi kedai cenderamata dan pusat maklumat kepada para pengunjung.

Berhampiran Multnomah Falls Lodge terdapat kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai snek dan minuman seperti coklat panas, kopi, teh, hotdog dan penkek.

 Tempat untuk makan dan minum disediakan kepada para pengunjung yang ingin menghabiskan masa menikmati minuman dan makanan sambil menikmati panorama air terjun. Difahamkan ketika musim panas, terdapat gerai yang menjual ais krim di kawasan tersebut.

Turut terdapat di kaki Air Terjun Multnomah adalah lokasi untuk mengadakan sebarang keramaian seperti majlis perkahwinan atau majlis harijadi bagi mereka yang gemarkan panorama dan bunyi air terjun dalam majlis masing-masing.

Pulang dari Air Terjun Multnomah, pengunjung pasti tidak mungkin dapat melupakan pengalaman menyaksikan  keindahan air terjun yang menakjubkan selain berhasrat untuk berkunjung kembali jika diberi kesempatan.