Bangunan Pentagon merupakan ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang terletak di Arlington, Virginia tidak jauh dari Washington DC.

 Ia merupakan simbol kepada kekuatan ketenteraan AS. Pentagon terletak di tepi lebuhraya yang begitu sibuk dan kedudukan berkenaan menyukarkan mereka yang berkunjung ke Washington untuk mengambil gambar bangunan Pentagon dari dekat.

Pentagon berbentuk segilima, mempunyai lima tingkat yang boleh dilihat di atas tanah manakala dua lagi tingkat di bawah tanah.

Dengan keluasan 604,000 meter persegi dengan lebih 23,000 warga kerja tentera dan awam ia menjadi bangunan pejabat yang terbesar di dunia.

Ketika serangan September 11, 2001 iaitu genap 60 tahun selepas majlis pecah tanah bangunan Pentagon sebuah kapalterbang American Airlines yang dirampas merempuh bahagian barat Pentagon dan membunuh 189 orang di mana 125 merupakan mereka yang sedang bertugas di Pentagon, 59 penumpang pesawat dan lima pengganas yang merampas pesawat berkenaan.

Pesawat berkenaan baru berlepas dari Lapangan Terbang Dulles di Washington DC dan sedang menuju ke Los Angeles.  Kerosakan akibat tragedi berkenaan sudahpun dibaikpulih pada hari ini.

Namun di sebalik imej pertahanan dan keselamatan, tidak jauh dari bangunan Pentagon terdapat beberapa kompleks membeli-belah dan seluruh kawasan berkenaan dikenali sebagai Pentagon City Mall. Jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Pentagon City Mall umpama Bukit Bintang yang mempunyai banyak kompleks seperti Pavillion, Lot 10 dan Plaza Sungai Wang.

Baru-baru ini Noli dan beberapa peserta program Dasar Luas AS berpeluang berkunjung ke Pentagon City Mall. Peserta program tidak dibenarkan melaporkan sebarang perbincangan dalam program atas sebab-sebab tertentu.

Apabila beberapa warga Washington DC mencadangkan kepada Noli supaya mengunjungi Pentagon City Mall Noli bertanya apa yang terdapat di kompleks berkenaan. Noli juga sempat bergurau adakah kompleks berkenaan menjual peralatan senjata? 

 Noli sama sekali tidak menyangka ia merupakan kompleks membeli-belah yang popular di kalangan warga Washington DC dan merupakan syurga kepada mereka yang gemar membeli-belah.

Di Pentagon City Mall terdapat beberapa gedung membeli-belah seperti macy’s dan nordstormrack. Ia merupakan lokasi yang sesuai bagi mereka yang gemar berfesyen atau sekadar ingin window shopping. Pakaian dan cenderamata Washington DC boleh dibeli di sini dari harga serendah AS$3.

Pentagon City Mall juga mempunyai kawasan foood court yang luas dan biasanya sesak selepas waktu pejabat. Kebanyakan warga asing yang pernah berkunjung ke Pentagon City Mall pasti akan menyarankan tempat membeli-belah  ini kepada rakan-rakan yang bakal ke Washington.
Biarpun ia sebuah bandaraya, Washington DC tidak mengalami kesesakan jalanraya yang teruk seperti sesetengah bandaraya di dunia.

Kemudahan pejalan kaki membolehkan ramai penduduknya berjalan kaki dan berbasikal untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.