Bangkok merupakan destinasi pelancongan yang popular bagi warga Malaysia khususnya untuk menikmati  pelbagai makanan Thailand dan membeli-belah.

Namun, keadaan banjir yang semakin teruk di kota Bangkok menyebabkan ramai warga Malaysia meninggalkan kota berkenaan.

 Sehingga saat ini Kedutaan Malaysia di Bangkok dilaporkan belum menerima panggilan atau laporan dari mana-mana warga Malaysia yang menghadapi masalah dan terkandas.

Namun pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia di sana kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan siap-sedia untuk memberi sebarang bantuan kepada warga Malaysia yang memerlukan sebarang pertolongan.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sebelum ini dilaporkan berkata,  tiada penerbangan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Thai Airways dari Kuala Lumpur ke Bangkok yang  dibatalkan berikutan banjir di Thailand.

Wisma Putra dalam amaran perjalanannya sebelum ini menasihatkan warga Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Bangkok sehingga bencana banjir yang dialami negara tersebut reda.

Jabatan Kajicuaca Malaysia pula meramalkan pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami ribut petir dan angin kencang dalam waktu terdekat.

Laporan media hari ini turut menyebut bumbung beberapa rumah musnah diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut yang melanda Alor Setar semalam.

Marilah kita sama-sama berdoa agar keadaan di Bangkok cepat pulih dan negara kita dipelihara dari sebarang bencana.