Perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu di Stadium Shah Alam  esok menimbulkan banyak kontroversi.

Seperti yang semua maklum banyak pihak membantah jualan tiket sebanyak RM50. Biar apa yang dikatakan sehingga saat ini harga tiket berkenaan kekal RM50.

Awal pagi ini laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan digodam pihak tidak bertanggungjawab.
 
 Menurut satu laporan media, laman web www.fam.org.my difahamkan tidak lagi berfungsi seperti biasa, sebaliknya mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej ‘khinzir’.  Turut dimasukkan adalah  dua rakaman video yang berbau provokasi.
 
Selain itu, laman web yang digodam dengan latar belakang warna merah itu turut menyelitkan satu artikel dari sebuah akhbar tempatan  bertajuk  ‘Harga tiket RM50 wajar’.

Selain itu terdapat laporan yang mengatakan Wisma FAM di Kelana Jaya dilempar dengan cat merah tidak kurang juga yang mengancam untuk memboikot perlawanan tersebut.

Ada  laporan yang mengatakan FAM menaikkan harga tiket gara-gara kos membaiki permukaan padang dan kos peningkatan tenaga manusia untuk mengawal keselamatan.
 
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah bertitah, penyokong pasukan Negeri Sembilan dan Terengganu seharusnya mengetepikan isu kenaikan harga tiket dan datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam esok, demikian menurut satu laporan media.

“Beta menyeru kepada penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu supaya datang ke stadium beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing,” titah baginda.


Ketika bersiap untuk ke pejabat awal pagi tadi Noli ada mendengar radio di mana seorang DJ memaklumkan bahawa siaran langsung Piala Malaysia akan disiarkan di TV 1 esok malam.

“Kalau rasa diri mampu beli tiket pergilah ke stadium jika tidak tengok saja siaran langsung di rumah…,” itu antara kata-kata yang Noli dengar di radio sebelum keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi tadi.

 Namun kesibukan menghadiri mesyuarat dan perbincangan membuat Noli terlupa mengenai final Piala Malaysia seketika.

Ketika menikmati makan tengahari sambil  melayari Internet, Noli teringatkan semula mengenai final Piala Malaysia. Benarkah ada siaran langsung esok?

Bagi memastikan Noli tidak tersalah dengar apa yang dikatakan DJ pagi tadi Noli menghubungi seorang teman lama ketika sama-sama belajar dan kini bertugas di RTM.

Teman Noli mengesahkan perkara itu dan berkata siaran langsung akan ke udara di TV1 pada jam 8.30 malam. Beliau turut memesan kepada Noli untuk memberitahu rakan-rakan mengenai siaran langsung tersebut.

Noli kemudian memberitahunya langkah RTM 1 untuk menyiarkan siaran langsung adalah langkah yang bijak kerana menjimatkan wang dan petrol, mengurangkan kesesakan jalan raya atau mungkin sebarang kejadian yang tidak diingini di stadium.

Oleh itu bagi mereka yang merasakan harga tiket RM50 terlalu tinggi tidak perlu protes atau sebagainya. Duduk saja di rumah dan tontonlah siaran langsung secara percuma dan santai.

 Selamat Menonton..                                         .