Ketika termenung seketika di pejabat sebentar tadi Noli teringatkan mimpi yang dialami malam tadi.

Semalam Noli bermimpi berbaik semula dengan seorang teman yang berselisih faham dan tidak bertegur sapa dengan Noli selama hampir setahun.

Noli masih ingat ketika Haloween Day tahun lalu kami masih rapat dan mesra. Ketika itu Noli maklumkan pada kawan tersebut bahawa sempena Haloween ini, Noli ingin berpakaian seperti ahli sihir wanita yang menunggang penyapu.

 Sebenarnya Noli sekadar bergurau tidak pernah menyambut Hari Haloween pun. Ketika zaman aktif ke kelab dulu ada kelab membuat tema Haloween. Namun Noli tidak pernah berpakaian mengikut tema.

Tahun lalu Noli sekadar suka-suka memberitahu hasrat berpakaian sebagai ahli sihir kepada teman tersebut. Kebetulan teman berkenaan sedikit tertekan kerana kerja lalu dia katakan `Kalau kau jadi ahli sihir jampilah aku. Jadikan aku pandai.’

Lalu Noli memujuknya supaya jangan berasa kurang pandai. Dalam kerja ada masa kita cemerlang ada masa sebaliknya. Melalui pengalaman itulah kita belajar memperbaiki kelemahan dan kesalahan.

Malangnya kini kami tidak lagi berkawan rapat beberapa hari selepas Hari Haloween  kerana sebab-sebab tertentu. Noli cuba berbaik dan meminta maaf namun tidak dilayan.

Mungkin semuanya silap Noli. Mungkin juga Noli melukai hatinya tanpa disedari atau mungkin ada sesuatu yang dia sembunyikan dari Noli hingga menyebabkan kami tidak boleh terus berkawan sehingga ke hari ini.

Memandangkan Hari Haloween akan menjelma lagi Isnin ini, Noli terkenangkan kawan berkenaan sebelum tidur semalam. Sudah hampir setahun kami tidak lagi rapat, Noli cuma bercakap pada diri sendiri saja sebelum tidur.

Mungkin  sebab itulah teman itu hadir dalam mimpi Noli malam tadi. Namun dalam mimpi  malam tadi kami berkawan baik dan mesra tidak seperti keadaan sekarang. Bagi Noli itu satu mimpi yang indah…

Apa pun Noli tetap doakan teman tersebut berbahagia dan ada teman lain yang akan memujuknya ketika dia berasa  `down’.

Pengalaman indah ketika kami berkawan akan tersemat abadi di dalam hati…