Hentian Bas Klang atau lebih popular dengan nama Bus Stand Klang menutup operasinya mulai hari ini bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen MRT bawah tanah.

Hentian bas yang dibina pada tahun 1960-an itu memberikan khidmat kepada warga kota selama hampir 50 tahun.

Ia menjadi ikon Kuala Lumpur pada masa dulu sebelum adanya Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan sebagainya.

Bus Stand Klang juga sering menjadi tempat pertemuan bagi mereka yang membuat temujanji  terutamanya mereka yang baru tiba ke ibu kota.

Sebelum era telefon  bimbit, kita hanya boleh membuat temujanji dengan menetapkan masa dan dan tempat sahaja. Jadi lokasi tertentu di bus stand tersebut seperti gerai menjual suratkhabar dan sebagainya akan menjadi tempat pertemuan.

Kedudukan Bus Stand Klang yang tidak jauh dari Pasar Budaya atau Central Market, Kotaraya dan Puduraya menjadikannya tumpuan ramai.
Kini Bus Stand Klang hanya tinggal kenangan. Noli masih ingat pengalaman mengambil bas di bus stand berkenaan ketika baru berhijrah ke ibukota pada awal 1990-an.

Pada waktu itu Noli sering mengambil bas dari Bus Stand Klang ke Petaling Jaya. Pekerjaan pertama Noli memerlukan Noli banyak berada di luar berbanding tugas pejabat.

Waktu itu tambang bas masih murah,  tidak sampai RM1 rasanya dan menggunakan perkhidmatan konduktor bas. Dulu waktu belum mampu memiliki kenderaan sendiri, apabila menaiki bas dan terlihatkan mereka yang memandu sendiri dari atas bas Noli sering bertanya dalam hati,

“Alangkah indahnya hidup bila ada kenderaan sendiri.’

Dulu Noli seolah-olah membenci kehidupan menggunakan perkhidmatan awam. Bersesak-sesak di dalam bas dan adakalanya terpaksa menunggu lama sehingga rambut dan pakaian pun berbau asap kereta!

Selepas era menaiki bas Noli menggunakan perkhidmatan LRT Putra sebelum mampu memiliki kenderaan yang pertama – dan mengalami kenaikan berat badan kerana sudah tidak banyak berjalan kaki menggunakan  dan menunggu kenderaan awam.

Namun kini bila sudah memandu kenderaan sendiri kadangkala  mengeluh tentang jalan sesak, sukar mendapat tempat letak kereta, mendapatkan temujanji untuk servis kenderaan dan membawa kenderaan ke tempat cuci kereta untuk dicuci.

Dulu Noli tidak perlu risau tentang berat badan kerana banyak berjalan dan menaiki tangga-tangga yang terdapat di stesen LRT.

Tetapi kini bila rutin berjalan kaki yang dilakukan setiap hujung minggu tidak memberikan kesan yang memberangsangkan Noli terpaksa bergantung kepada fat-burner…

Begitulah kehidupan, sentiasa berubah seiring dengan masa. Justeru hargailah setiap detik yang dilalui dalam  hidup supaya ia boleh menjadi pengalaman berharga yang dapat dikenang sampai bila-bila.