Di kebanyakan akhbar arus perdana di Malaysia meja berita semasa, politik atau jenayah disifatkan sebagai antara meja terpenting sementara segmen makan-makan hanya dikendalikan oleh seorang  atau dua orang wartawan sahaja.

Bagaimanapun akhbar San Francisco Chronicle (SFC) menjadikan meja makanan dan wain sebagai unit yang paling penting dalam akhbar tersebut.

Koresponden SFC, Jennifer Bolt yang ditemui Noli bersama rakan-rakan berkata, meja makanan dan wain SFC adalah unit terpenting dengan ramai wartawan yang bertugas di sebuah bangunan berasingan yang tidak jauh dari ibu pejabat SFC. 

“Semua resepi yang akan disiarkan diuji dan dicuba dulu oleh para wartawan bagi memastikan resepi berkenaan tepat dan  benar-benar mampu menghasilkan hidangan yang berkualiti,”katanya ketika memberikan taklimat kepada Noli dan rombongan warga asing yang meninjau operasi editorial SFC baru-baru ini.

Noli tidak hairan apabila mendapat tahu segmen makanan dan wain merupakan bahagian terpenting dalam SFC kerana dapat melihat sendiri begitu banyak restoran di sekitar bandaraya San Francisco.

Antara restoran yang begitu banyak dilihat termasuklah restoran makanan India, Pakistan, Cina, Vietnam, Thailand dan Itali. Difahamkan terdapat lebih 80 kafe Starbucks sekitar pusat bandaraya San Francisco.   
Sementara, Pengarang Pengurusan SFC, Steve Proctor mengakui sukar untuk menarik pembaca berumur 20 tahun hingga 30 tahun  membaca akhbar memandangkan golongan ini lebih gemar membaca berita di iPad dan iPhone masing-masing.

Kebanyakan pembaca akhbar berkenaan kini adalah mereka yang berusia lebih 50 tahun ke atas. Jika golongan pembaca usia emas ini tidak ada lagi akhbar tersebut  berkemungkinan pupus pada masa akan datang.

Proctor menambah  bagi mengatasi masalah tersebut SFC akan melancarkan berita versi iPad dan iPhone tidak lama lagi khusus untuk golongan muda.

“Tidak ada suratkhabar di AS mahu menjadi akhbar pertama yang menghadapi risiko terpaksa ditutup. Justeru media cetak perlu menyesuaikan diri dengan perubahan budaya membaca berita golongan muda khususnya mereka yang berusia 20-an.

“Pembaca SFC versi digital adalah lebih tinggi iaitu 4 juta hingga 5 juta sehari berbanding edaran akhbar tersebut setiap hari iaitu kurang dari  500,000 sehari,” jelasnya.

Noli dan rakan-rakan turut diberikan peluang menjadi pemerhati dalam mesyuarat editorial pengarang-pengarang SFC yang biasanya diadakan setiap pagi bagi membincangkan maklumbalas berita yang disiarkan pada hari sebelumnya dan menggariskan agenda seterusnya.
Berdasarkan pemerhatian  Noli, mesyuarat pagi SFC tidak banyak membincangkan agenda berita-berita politik sebaliknya memberi tumpuan kepada rencana berbentuk informasi dan gaya hidup.

Mesyuarat berkenaan juga dimaklumkan bahawa antara berita digital SFC semalam yang paling banyak dibaca adalah Senarai Hotel Terbaik Berharga Di Bawah AS$150; berita mengenai anak luar nikah bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger dan hiasan dalaman hospital yang terbaik dan menarik.

Proctor menambah, agenda berita yang menjadi keutamaan SFC adalah teknologi yang menjadi minat golongan muda, hartanah memandangkan ia sangat mahal di San Francisco, wain dan restoran, budaya dan akhir sekali barulah aktivis politik