San Francisco Chronicle (SFC) merupakan akhbar yang terbesar di utara California dan yang kedua terbesar di pantai barat Amerika  Syarikat (AS). Ketika berkunjung ke California baru-baru ini Noli sempat melawat pejabat SFC.

 Ia dimulakan pada Januari 1865 oleh adik beradik remaja Charles de Young dan Michael de Young.

Kedua-duanya mengedarkan SFC secara percuma di restoran, salon, kedai-kedai, hotel, bot-bot dan rumah tumpangan.

Nama SFC melonjak pada September 1868 apabila mendahului akhbar lain dalam  menyiarkan kisah pembunuhan presiden  Abraham Lincoln.

SFC menjadi penerbitan yang pertama menggunakan ilustrasi dalam laporan pembunuhan. 
Sejak itu, SFC membangun seiring dengan kota San Francisco. Pada tahun 1880, salah seorang pengasas dan editornya Charles de Young dibunuh dalam pejabatnya sendiri.

Dia ditembak oleh anak Datuk Bandar ketika itu kerana tidak berpuas hati dengan berita yang  mendedahkan  keburukan bapanya. Tragedi berkenaan tidak menghalang SFC untuk terus berkembang.

Bagaimanapun, perkembangan dunia digital membawa banyak perubahan dan cabaran besar kepada SFC. Sejak awal 2000 edaran SFC mula  merosot sehingga ia dibeli oleh syarikat penerbitan Hearst Corporation.

Hearst memiliki sejumlah 15 akhbar termasuklah Houston Chronicle dan San Antonio Express. Ia turut menerbitkan majalah  Cosmopolitan, Harper’s Bazaar, Marie Claire selain memiliki beberapa stesyen penyiaran.

Dari edaran berjumlah 512,129 pada 2002, edaran SFC kini adalah sekitar 200,000 sahaja. Koresponden SFC, Jennifer Bolt dalam satu pertemuan dengan Noli berkata, warga kerja SFC kini hanya berjumlah 500 orang berbanding 1,400 satu masa dulu.

“Warga kerja yang lebih kecil berbanding masa dulu membolehkan SFC menyewakan bangunan ibu pejabatnya kepada beberapa buah  syarikat kecil untuk meningkatkan pendapatan. Akhbar ini mempunyai penulis warga emas yang berusia hingga 90 tahun dan ramai  kakitangan pelatih. Sejak warga kerja sepenuh masa semakin berkurangan, SFC mengambil ramai wartawan pelatih,” katanya.

Beliau menambah, seiring dengan perkembangan semasa SFC mempunyai akhbar versi digital dengan sekitar 4 juta pembaca setiap hari. 

Namun, pengiklanan dalam akhbar elektronik SFC tidak membawa banyak keuntungan.

“Bagi menyesuaikan SFC dengan perkembangan teknologi, akhbar digital SFC versi iPad dan iPhone akan dilancarkan tidak lama lagi.

Semua ini bertujuan memastikan SFC tidak kehilangan pembaca terutamanya dari golongan muda,” jelasnya.

Sementara itu Editor Urusan SFC, Steve Proctor berkata, SFC pernah mengalami kerugian sehingga mencecah AS$80 juta setahun. Kini  jumlah itu sudah berjaya dikurangkan sehingga satu pertiga dari angka berkenaan.

“Hearst sudah menanggung kerugian sehingga mencecah AS$1 bilion sejak mengambil-alih SFC pada tahun 2000. Namun tidak ada suratkhabar di AS yang ingin menjadi akhbar pertama yang ditutup.

“Lembaga Pengarah SFC juga keberatan untuk menghentikan operasi akhbar ini biarpun edaran semakin menyusut dan sudah kehilangan ramai pekerja. Sementara pembaca hanya mahukan kandungan berita yang baik secara percuma tanpa menyedari untuk menghasilkan kandungan berita yang baik memerlukan kos,” jelasnya.

Proctor menambah, kebanyakan laporan muka depan SFC mengambil masa selama seminggu untuk dihasilkan termasuklah laporan seperti anak luar nikah bekas gabenor California, Arnold Schwarzeneggar pada Mei lalu.

“Akhbar yang lebih besar seperti New York Times biasanya memberikan liputan meluas dan lebih terdahulu dalam berita-berita ekonomi dan politik.  Oleh itu SFC memberikan perhatian kepada liputan  berita-berita teknologi memandangkan ia menjadi kegemaran golongan muda dan berita hartanah kerana ia sangat mahal di San Francisco,” katanya.

Turut diberikan keutamaan, tambah Proctor, adalah rencana mengenai makanan dan wain memandangkan terdapat banyak restoran makanan  dari serata dunia di San Francisco yang menghidangkan makanan Itali, Vietnam, Cina, India, Pakistan, Thailand, Jepun dan Asia  Barat. Berita lain termasuklah rencana mengenai budaya, gaya hidup dan akhir sekali barulah aktivis politik.

“Mengenai berita luar negara SFC memberikan tumpuan kepada berita dari negara China dan Amerika Latin kerana masyarakat ini ramai  di California. Mereka biasanya gemar membaca berita mengenai negara asal masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai berita online yang paling banyak dibaca pada hari sebelumnya, beliau berkata, rencana mengenai senarai 50 hotel  pada kadar di bawah AS$150 berjaya menarik pembaca paling tinggi. 
Jelas Proctor, memandangkan pembaca akhbar elektronik kini lebih tinggi dari media cetak pelbagai pendekatan perlu dilakukan bagi  memastikan golongan muda terus berminat untuk membaca dan mengikuti perkembangan berita.

“Sebahagian besar daripada pembaca SFC pada hari ini adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Apa akan berlaku kepada SFC  selepas golongan pembaca ini tidak ada lagi?

“Langkah tertentu perlu diambil supaya golongan yang berusia 20-an terus membaca  berita pada masa akan datang. Media perlu  memastikan kandungan mereka mampu menarik pembaca dari pelbagai peringkat umur dan bukannya satu golongan sahaja,” katanya.