Kisah mengenai ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang digambarkan dalam filem-filem Hollywood mahupun program televisyen dari Amerika Syarikat (AS) selama ini sama sekali tidak memberikan gambaran sebenar mengenai tugas seorang ejen FBI. Ini merupakan pengakuan seorang ejen FBI yang pernah Noli temui sebelum ini.

Mike Caputo, seorang ejen khas FBI berkata demikian apabila ditanya apakah kehidupan dan cara beliau menjalankan tugas sama seperti apa yang dilihat di layar perak mahupun dalam siri televisyen.

“Pada pandangan saya hanya satu filem sahaja yang menceritakan kehidupan FBI secara tepat. Filem itu bertajuk The FBI Story yang dihasilkan pada tahun 1960 dan merupakan filem kegemaran bapa saya yang juga seorang ejen FBI,” tambah beliau.

Noli dan rakan-rakan pada awalnya agak teruja apabila dimaklumkan bahawa kami akan mengadakan perbincangan dengan seorang ejen FBI.

Ini kerana kami menyangka pertemuan itu akan berlangsung di ibu pejabat FBI dan masing-masing tidak sabar untuk melihat bagaimana sebenarnya pejabat FBI, ejen yang sering digambarkan hebat dalam menjalankan penyiasatan.

Malangnya rombongan kami tidak berpeluang untuk bertemu dengan ejen berkenaan di pejabatnya mungkin atas sebab-sebab keselamatan  memandangkan kami terdiri daripada warga asing dari pelbagai negara di seluruh dunia.

Sebaliknya pertemuan dengan Caputo berlangsung di bilik mesyuarat di salah sebuah muzium di bandaraya Portland.

Jelas Caputo, FBI mempunyai 33,000 warga kerja dan 12,000 daripadanya merupakan ejen. Seorang ejen FBI perlu mengangkat sumpah, menjalani latihan kepakaran lebih enam bulan, mempelajari teknik penggunaan pelbagai senjata api dan taktik-taktik penyiasatan.

“Setiap tahun ejen FBI perlu menjalani ujian poligraf untuk mengesan penipuan dan hanya mereka yang lulus ujian berkenaan sahaja akan mengekalkan  status sebagai seorang ejen,” katanya.

“Tugas seorang ejen FBI adalah sama seperti seorang detektif dalam pasukan polis. Namun tidak seperti polis FBI tidak mengambil tahu soal trafik atau kes-kes rompakan. Seorang ejen FBI juga dihantar bertugas di Kedutaan AS di seluruh dunia. Di luar negara FBI akan menyiasat sebarang perkara berkaitan kepentingan AS.

“Agensi Perisikan Pusat (CIA) pula menjalankan misi yang berlainan dengan FBI di luar negara. CIA tidak menyentuh isu-isu domestik AS,” tambah Caputo.

Jelas beliau, FBI mempunyai beberapa bahagian termasuklah bahagian siber yang mengesan segala bentuk ancaman bagi kepentingan AS di Internet.

Katanya, biarpun penyiasatan boleh dilakukan melalui komputer, risikan secara individu merupakan cara terbaik untuk mengumpul maklumat.

Ini kerana risikan secara individu membolehkan ejen FBI mewujudkan jaringan dan menambah kenalan. Namun salah satu risikonya adalah adakalanya pemberi maklumat kepada FBI mungkin menipu atau memberikan maklumat tertentu demi kepentingan diri seperti ingin mendapatkan pekerjaan, kerakyatan AS dan sebagainya.

Mengenai aspek keselamatan selepas Osama bin Laden dibunuh, Caputo berkata setakat ini FBI menjalankan siasatan seperti biasa untukmengesan sebarang perancangan untuk menuntut bela atau ancaman lain.