Selepas kerja di pejabat siap Noli membaca berita dan rencana yang disiarkan di akhbar-akhbar utama. Noli baru sedar akan satu perkara.

Banyak pula isu berkaitan seks yang timbul di Malaysia kebelakangan ini.

Salah satu isu adalah program Seksualiti Merdeka 2011 yang dijadualkan berlangsung sehingga 13 November di Annexe Gallery Pasar Seni Kuala Lumpur. Laman web www.seksualitimerdeka.org mendakwa program tersebut merupakan acara tahunan untuk meraikan hak asasi mereka yang mempunyai orientasi seks dan identiti gender yang pelbagai.

Program ini mendapat tentangan dari pelbagai pihak biarpun disokong oleh Majlis Peguam. Noli tidak berminat untuk menyertai program ini.

Pada masa yang sama Noli juga tidak mahu memberikan sebarang komen kepada mereka yang menyokong atau menyertainya. Terpulanglah kepada hak masing-masing.

Bagi Noli bagus juga jika seseorang itu membuat pengakuan jika orientasi seksnya lain dari biasa. Ini dapat mengelakkan salah faham atau hati yang terluka.

 Noli pernah tahu seorang wanita yang berkawan rapat dengan seorang lelaki yang langsung tidak mempunyai nafsu dengan wanita namun tidak berterus-terang. Lelaki berkenaan hanya berkawan rapat dengan wanita untuk mengaburi mata masyarakat dari cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa beliau seorang gay.

Setelah lama menunggu dan melihat perhubungan itu tidak ke mana wanita berkenaan pun cuba berkawan rapat dengan lelaki lain. Apabilakeadaan ini berlaku lelaki gay tersebut menunjukkan sikap cemburu dan menjauhkan diri dari wanita itu. Sehingga hari ini dia enggan bertegur sapa dengan wanita itu biarpun wanita itu mengakui boleh menerimanya sebagai seorang teman gay tanpa mengharapkan cinta darinya.

Jika dari awal persahabatan lelaki berkenaan berterus-terang dan mengatakan dia tidak mempunyai nafsu terhadap wanita sudah pasti mereka masih berkawan baik sehingga hari ini. Gay tersebut juga perlu bersikap terbuka apabila wanita berkenaan mencari teman baru kerana dia tidak cukup macho untuk melafazkan cinta.

Pada pendapat Noli mungkin gay berkenaan  ingin mencuba menjadi lelaki sejati apabila berkawan dengan teman Noli namun dia gagal dan akhirnya dia sendiri yang menjauhkan diri…

Satu lagi isu seks ialah pengharaman Buku Panduan Seks terbitan Kelab Isteri Taat. Sesiapa yang didapati memiliki buku Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia akan dikenakan denda hingga RM5,000.

Manakala mereka yang didapati mencetak serta mengedar buku berkenaan untuk dijual di pasaran boleh kenakan denda tidak melebihi RM20,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Buku kontroversi berkenaan telah ditulis oleh Hatijah Aam yang juga isteri kepada bekas pengasas kumpulan al-Arqam, Ashaari Muhammad dan pengasas Kelab Isteri Taat.

Kelab berkenaan ditubuhkan oleh Global Ikhwan Sdn Bhd, sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh kumpulan al-Arqam. Noli pernah terbaca ulasan seseorang yang berjaya mendapatkan buku berkenaan yang menganggap buku tersebut tidak menarik kerana tanpa sebarang gambar mahupun ilustrasi.

Banyak betul isu berkaitan seks yang wujud dalam negara pada masa ini. Itu tidak termasuk  masalah seks terlarang di kalangan remaja yang menyebabkan penuntut sekolah  hamil luar nikah, melahirkan bayi dalam tandas sekolah, menggugurkan kandungan atau membunuh bayi sendiri….