Noli sedih terbaca berita pagi tadi mengenai pelajar kita dibunuh di Indonesia ketika menghalang motosikalnya dari dicuri.

 Pelajar Malaysia Di Jawa Tengah Dibunuh

JAKARTA – Seorang pelajar Malaysia mati dibunuh ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumahnya di bandar Malang, Jawa Timur, Isnin malam.
 
Maklumat awal berdasarkan laporan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, pelajar itu dikenali sebagai Adrian Jay Pereira, penuntut Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, Malang.
 
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 7 malam itu, Pereira dilaporkan ditetak dengan senjata tajam oleh pencuri berkenaan dan mati di tempat kejadian.
 
Education Malaysia (EM) (dahulu Jabatan Penuntut Malaysia) di Indonesia sedang mendapatkan butiran rasmi mengenai kejadian itu daripada pihak polis Indonesia dan menguruskan pengiriman pulang mayatnya ke Malaysia.
 
Pereira berasal dari Klang, Selangor.
 
Atase Pendidikan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun telah berlepas ke Malang dengan pesawat paling awal hari ini.
 
Seramai 173 pelajar Malaysia kini menuntut di Malang dan daripada jumlah itu, 161 belajar di Universiti Brawijaya. – BERNAMA

Takziah buat keluarga mangsa. Mungkin pengajaran yang boleh kita ambil dari episod ini ialah jika ada yang mahukan barangan berharga yang kita miliki berikan saja…
Noli juga terfikir jika dalam insiden ini mangsa bunuh ialah pelajar Indonesia dan lokasi pembunuhannya pula di Malaysia. Pasti sudah ada demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta pada waktu ini.

 Namun sehingga ke saat ini Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur masih aman.

Rakyat Malaysia juga bersikap rasional dan menunggu dengan sabar laporan lanjut dan terperinci mengenai kejadian tersebut.

 Itulah bezanya sikap dan mentaliti masyarakat Malaysia dan Indonesia…