Selesai sudah cuti Hari Raya Aidiladha.  Noli pulang bercuti ke Ipoh, Taiping dan Pulau Pinang. Taiping dan Pulau Pinang hujan sepanjang hari ketika Aidiladha. Di Ipoh cuaca baik setakat pagi semalam.

Nasib baik perhimpunan Seksualiti Merdeka dibatalkan. Jika tidak mungkin tindakan yang diambil pihak berkuasa ketika perhimpunan dijalankan akan dilaporkan dengan meluas oleh media antarabangsa.

 Media antarabangsa memang sentiasa mencari jalan untuk menonjolkan berita berunsur negatif  mengenai Malaysia (mengikut perspektif mereka) kepada dunia.

Noli masih ingat ketika pihak berkuasa menahan ramai pasangan semasa Hari Valentine’s 14 Februari baru-baru ini banyak media antarabangsa yang memberikan laporan luas. Malah ada yang seolah-olah memberikan komentar bahawa di Malaysia meraikan cinta adalah satu kesalahan.

Ketika memandu berseorangan pulang ke Kuala Lumpur semalam, Noli terdengar berita yang ke udara di radio. Ada berita mengenai buang bayi dan seorang wanita muda yang ditahan kerana disyaki terlibat.

 

 

 

 

 

 

Berita buang bayi memang banyak di negara kita sekarang. Hampir setiap hari atau sekurang-kurangnya setiap minggu.

 Apabila terdengar berita mengenai buang bayi ketika memandu semalam, Noli berkata kepada diri sendiri. Ibu yang menyara kehidupan anak dengan mencari pendapatan  bekerja sebagai pelayan atau GRO dan sebagainya yang dipandang rendah oleh masyarakat mungkin lebih mulia dari ibu yang membuang bayinya.

Setidak-tidaknya ibu yang menjadi GRO itu berusaha dengan kemampuan yang ada untuk membeli susu atau memberi sesuap nasi supaya anaknya boleh terus hidup. Lebih mulia berbanding ibu yang dengan senang membuang, meninggalkan malah ada yang membunuh bayi sendiri.

Badan Noli masih lenguh kerana memandu pada cuti Hari Raya Aidiladha baru-baru ini. Noli tidak sabar menunggu hujung minggu untuk berjalan kaki di FRIM dan seterusnya ke spa….tapi hari ini baru hari Selasa….