Kurang sejam dari sekarang akan berlangsung perlawanan bolasepak di antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta. Noli mendoakan kejayaan bagi skuad negara dan perlawanan akan berlangsung dengan aman.

Memandangkan waktu hampir 7 malam dan Noli masih di pejabat maka Noli tidak akan berpeluang untuk menonton perlawanan tersebut.

 Apa lagi pada waktu ini Noli belum makan tengahari lagi. Noli sebenarnya sedang menunggu satu email dari seorang pengurus kanan.
Minggu ini Noli agak sibuk. Banyak laporan perlu disiapkan dan mesyuarat yang perlu dihadiri di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain. Banyak email perlu dijawab.

Semalam Noli di Temerloh untuk satu majlis. Ia merupakan pertama kali Noli memandu ke bandar itu yang dikenali sebagai Titik Tengah Semenanjung dan Bandar Ikan Patin. Noli bangga kerana tidak sesat.

Makan tengahari di Temerloh sedap..lauk ikan Patin. Kerana tidak menggunakan kad ketika meletak kereta Noli disaman sebanyak RM10 oleh Majlis Perbandaran Temerloh.

Noli pun bertanya pada seseorang di mana boleh membayar saman berkenaan sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Maka ada orang tunjukkan Noli bangunan Majlis Perbandaran Temerloh. Kata orang itu, `Cik jangan risau saman ini pasti dikurangkan menjadi RM5 sahaja.’

Apabila masuk saja ke bahagian kaunter bayaran di Majlis Perbandaran Temerloh, Noli diminta ke kaunter penguatkuasa supaya saman berkenaan dapat direkodkan dan dikurangkan.

Benarlah cakap orang tadi, saman yang dicatatkan RM10 dikurangkan menjadi RM5. Selepas membuat bayaran Noli bertanya pada petugas kaunter bagaimana jalan ke lebuhraya untuk ke Kuala Lumpur.

Petugas berkenaan yang baik hati mencari kertas dan melukis peta dengan teliti sambil menerangkan pada Noli simpang yang perlu diambil. Baik betul orang di bandar Temerloh ini…kata Noli di dalam hati.

Noli tiba di Kuala Lumpur ketika hari sudah  petang jalan pun sesak. Memandangkan semalam hari Rabu, Noli singgah di Bangsar untuk menikmati aiskrim kegemaran Baskin Robbins yang mempunyai kempen Pink Wednesday.

 Sesiapa yang menunjukkan beg, berbaju pink atau dompet pink akan dapat dua scoop aiskrim pada harga satu scoop iaitu RM7.95.

Semalam juga Noli perasan di Jalan Telawi Bangsar sudah ada Tuti Fruiti yang menjadi kegilaan ramai orang ketika ini. Noli masih belum mencuba Tuti Fruiti biarpun sering terbaca di facebook dan diberitahu mengenai kesedapannya.

Namun dalam pujian orang Noli terdengar juga cakap orang yang mengatakan Tuti Fruiti begitu mahal dan boleh mencecah hampir RM20.

 Nantilah bila sudah cuba baru Noli boleh tulis mengenai pengalaman pertama bersama Tuti Fruiti pula…