Semalam keputusan UPSR diumumkan ramai yang berbangga dengan keputusan cemerlang. Tidak kurang juga yang memberikan semangat kepada mereka yang mendapat keputusan yang kurang membanggkan.

 Ini cuma satu ujian awal dalam pelajaran dan hidup dan tidak mendapat kejayaan cemerlang di peringkat UPSR tidak bermakna tidak ada masa depan.

Seorang teman Noli yang kini bekerja dengan agensi berita Jepun Kyodo memaklumkan suaminya tidak mendapat sebarang A dalam ujian penilaian darjah lima dulu. Tetapi hari ini suaminya menerima gaji yang lebih tinggi dari beliau.

Cuba lihat sekeliling berapa ramai teman kita yang sentiasa cemerlang di sekolah namun kini hanya biasa-biasa saja di alam pekerjaan. Teman-teman Noli yang bijak dulu ketika belajar ada yang kini menjadi surirumah, menjual cupcakes kecil-kecilan dan sebagainya.

Bekas teman lelaki Noli ketika di universiti dulu sangat bijak. Dia merupakan pendebat universiti dan mendapat keputusan cemerlang di antara pelajar jurusan Sains Politik.

Tamat belajar, dia menyatakan hasrat ke London untuk menyambung pelajaran di London School of Economics and Political Science.

Dia ingin mencapai cita-cita untuk menjadi seorang ahli akademik dalam jurusan perhubungan antarabangsa atau menjadi seorang diplomat. Dia menolak tawaran untuk menjadi tutor di universiti tempat kami belajar dan berkenalan.

 Memandangkan Noli masih belum tamat belajar Noli tidak dapat mengikutnya ke London. Selepas beberapa lama di sana teman lelaki Noli berkata perhubungan kami perlu putus keluarganya sudah pun mencarikannya jodoh.

Biarpun agak sukar untuk melupakannya, Noli terpaksa. Tamat belajar Noli bekerja di sebuah syarikat kecil untuk membantu arwah ibu Noli seorang ibu tunggal.

Selepas itu syarikat berkenaan menghadapi masalah kewangan dan tutup. Pada masa yang sama ibu arwah. Waktu itu Noli hampir gila. Tetapi dengan kuasa Allah Noli dapat bekerja di sebuah syarikat senaraian awam.

Kini Noli bertugas di sebuah badan berkanun di Menara Berkembar Petronas. Baru-baru ini Noli terjumpa bekas teman lelaki sewaktu belajar dulu di facebook seorang teman warga Singapura.

Noli tidak menyangka teman lelaki yang dulunya begitu hebat dan bijak kini hanya menjadi sukarelawan bersama palang merah dan bertugas di kem pelarian Dadaab dekat sempadan Kenya – Somalia.

Selama ini Noli bayangkan dia pasti sudah menjadi profesor perhubungan antarabangsa atau paling kurap pun bertugas dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sama ada di ibu pejabat di New York atau di mana-mana negara. Itu merupakan cita-citanya ketika belajar.

Teman lelaki meminta maaf kerana meninggalkan Noli. Dia memberikan alasan pada masa itu kami sama-sama muda. Bagi Noli semua ini takdir dan perjalanan hidup masing-masing yang ditentukan oleh Allah.

Ini  merupakan contoh terbaik bahawa jika cemerlang pada usia muda tidak semestinya seseorang itu akan berjaya sepanjang hidup.

Noli pernah terbaca seorang personaliti negara mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan  Malaysia sehingga 7 kali untuk  berada di kedudukan sekarang.

Apa yang penting ialah tidak berputus asa…