Syukurlah hari ini hari Jumaat. Esok Sabtu boleh berjalan kaki di FRIM, berehat, bersihkan rumah, mengambil dan menghantar baju di dobi atau menonton cerita Happy Feet 2 yang lama Noli nanti-nantikan.

Tapi selalunya bila hujung minggu banyak perkara sempat Noli siapkan kecuali kemas dan bersihkan rumah. Haha

Tahniah kepada skuad Harimau Muda kerana menjadikan kami semua rakyat Malaysia berasa bangga semalam.  Kekalkan kecemerlanganmu Harimau Muda.

 

 Noli gembira melihat ramai yang meletakkan gambar harimau sedang mengunyah bendera Indonesia di laman facebook masing-masing semalam.

Semalam Noli sempat menonton gol kemenangan Malaysia. Habis bekerja Noli makan di food court di Aras 4 KLCC. Noli sukakan pelbagai menu mee di sana.

 Ramai yang menonton perlawanan bolasepak di food court berkenaan dan waktu itulah Malaysia menjaringkan gol. Meriah juga suasana di food court ketika itu. Warga asing turut menonton perlawanan bolasepak semalam.

Namun Noli tidak menunggu sehingga perlawanan habis kerana tidak mahu pulang lewat ke rumah dan agak penat. Jadi Noli pulang selepas melihat Malaysia mendahului Indonesia sambil berdoa semoga Malaysia memenangi perlawanan tersebut.

Sepanjang jalan pulang ke rumah Noli perasan Lebuhraya Persekutuan agak lengang berbanding hari biasa. Mungkin ramai yang pulang awal kerana ingin menonton perlawanan bolasepak agaknya.

Kalau tidak silap semasa memandu ke pejabat pagi tadi Noli terdengar di radio bahawa Malaysia akan bertemu dengan Myanmar selepas ini bagi peringkat seterusnya. Semoga Harimau Muda terus berjaya……