Hari ini pejabat Noli sunyi. Mungkin masih ramai yang bercuti dan ada yang perlu menghadiri mesyuarat di luar. Keadaan trafik ketika memandu di pejabat pagi tadi juga lancar.

Cuti hujung minggu selama tiga hari baru-baru ini Noli habiskan dengan berjalan kaki di FRIM, membeli-belah, berehat dan mengemas rumah. 

Satu lagi aktiviti kegemaran Noli pada hari tidak bekerja ialah makan sambil bersantai.

Hari Sabtu Noli cuma habiskan masa di FRIM,  di spa dan ke farmasi untuk mendapatkan bekalan makanan tambahan. Selain itu Noli turut menghabiskan hari cuti dengan membaca.

Pada hari Ahad, Noli ke Bangsar untuk merapikan kening di salon. Keluar dari salon Noli teringin mencuba Tutti Fruiti yang menjadi kegemaran ramai teman termasuklah seorang bekas bos.

 Malangnya kedai Tuti Fruiti di Bangsar tidak dibuka pada hari Ahad. Dek kerana terlalu mengidamkan Tuti Fruiti, Noli ke Bandar Seri Permaisuri di Cheras.

Noli memilih Bandar Seri Permaisuri kerana yakin lokasi kedai Tuti Fruitinya. Jika hendak tuju tempat lain takut tidak jumpa pula kedainya. Lebih teruk Noli mungkin sesat.

Pekerja lelaki di kedai Tuti Fruiti itu agak peramah. Noli mencuba dua perisa iaitu Death by Chocolate and Strawberry bersama buah-buahan dan manisan lain sebagai pelengkap hidangan.

Itulah kali pertama Noli mencuba Tutti Fruiti. Bagi Noli rasanya boleh tahan namun Noli lebih sukakan aiskrim kegemaran Baskin Robbins. Tapi tidak salah jika sekali-sekala bertukar selera kepada Tutti. Selepas itu Noli menghabiskan masa berjalan kaki di FRIM.

Hari cuti Noli rasanya tidak lengkap jika tidak melakukan senaman berjalan kaki. Sudah beberapa tahun Noli amalkan tabiat berjalan kaki pada hari tidak bekerja. Malangnya masih juga sukar untuk menurunkan berat badan. Noli harap Noli tidak akan putus asa.

Semalam Noli hanya menghabiskan masa dengan mengemas dan membersihkan rumah, membaca, berehat dan tidur. Cadangnya mahu mengubah susun atur perabut di rumah  tapi tidak dapat dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu. 

Hujung minggu ini Noli dijangka ke Awana Kijal, Terengganu atas urusan kerja. Oleh itu kerja-kerja menghias rumah akan bersambung pada minggu seterusnya.

Semoga minggu ini akan menjadi minggu  yang indah bagi kita semua…..