Esok Disember bakal menjelma. Bererti tidak lama lagi kita akan memasuki tahun baru. Bila semakin dekat ke penghujung tahun Noli akan mengkaji pencapaian Noli di sepanjang satu-satu tahun. Tidak kurang juga mengenang semula pengalaman pahit dan manis sepanjang tahun.

Tahun 2011 menyaksikan penghijrahan Noli dari sebuah syarikat senaraian awam ke sebuah pejabat di KLCC. Suasana kerja di tempat baru membawa banyak pembaharuan dalam hidup. Noli cukup bersyukur dan gembira dengan pengalaman baru ini. Noli dapat kemahiran dan pendedahan baru yang berguna. Prestasi kewangan juga sedikit meningkat haha.

Kerjaya baru Noli juga membawa Noli meneroka ke banyak destinasi baru yang Noli tidak pernah sampai sebelum ini. Semua ini pengalaman baru yang sangat Noli hargai.

Pada tahun ini juga Noli berjaya memiliki lesen menyelam. Sudah beberapa tahun Noli menyimpan hasrat untuk memiliki lesen berkenaan namun tidak dapat dicapai kerana tidak mempunyai rakan dan kewangan yang terhad. Noli berbangga dan gembira dapat meneroka khazanah laut kini.

Tahun 2011 juga menjadi saksi Noli bertemu semula dengan kekasih 16 tahun dulu ketika belajar. Noli sama sekali tidak menyangka akan bertemu beliau semula. Ini kerana sudah lama Noli padamkan dia dari ingatan selepas dia meninggalkan Noli untuk ke London dan mendirikan rumahtangga.

Dia ada merancang untuk bercuti di Malaysia. Noli cuba untuk tidak begitu meletakkan harapan tinggi dapat bertemu dengannya kerana ia tidak penting lagi dan membawa apa-apa makna pada masa ini. Masing-masing sudah ada haluan hidup dan gaya hidup sendiri yang jauh berbeza. Kalau jumpa pun mungkin sekadar rakan sekelas lama. Lebih baik elakkan bercakap hal lain nanti hanyut pula..lagi kacau.

Untuk tahun 2012 Noli berazam untuk lebih komited dalam menjaga kesihatan diri terutamanya dalam mengurangkan berat badan haha. Noli juga berazam untuk menghias apartment supaya lebih menarik pada tahun depan.

Manalah tahu tahun depan Noli  dapat rakan serumah dan sebilik untuk seumur hidup atau lebih mudah disebut berumahtangga….