Kebelakangan ini setiap hari kita disajikan dengan berita dan amaran oleh pihak berkuasa mengenai Kempen Bebaskan Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 9 Januari ini.

 Ia dianjurkan memandangkan pada tarikh tersebut mahkamah akan memberikan keputusan mengenai kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak tahun 1998 Noli sudah lali dengan demonstrasi dan perhimpunan dan kesesakan jalan raya yang wujud ekoran tindakan seperti ini.

Mengadakan kempen dan demonstrasi akan menyebabkan kesesakan jalan raya apabila sesetengah jalan terpaksa ditutup.

Ramai orang akan berhadapan dengan stress, lewat ke tempat kerja, tersekat di jalan atau terpaksa membatalkan apa-apa perancangan.

Noli ada terbaca di sebuah portal mengenai kenyataan Azmin Ali bahawa pihak pembangkang bercadang untuk mengumpul 100,000 penyokong di mahkamah Isnin ini biarpun polis sudah beberapa kali mengeluarkan amaran dan peringatan. Aduh!

Tidak pasti sama ada angka 100,000 penyokong boleh dicapai atau sebaliknya tapi Noli dan rakan-rakan di pejabat risau memikirkan keadaan trafik pada pagi itu. Ada rakan sepejabat yang mencadangkan jabatan kami diberi cuti atau mengambil cuti sakit pada hari itu.

Sepatutnya mereka yang terlibat dalam perbicaraan itulah yang risaukan tarikh berkenaan namun kini tarikh tersebut menimbulkan stress kepada sebahagian besar warga kota terutamanya mereka yang bertugas di sekitar Jalan Duta. Sementara pihak berkuasa pula perlu merancang langkah mengawal ketenteraman.

Memang semua orang berhak berasa kagum dengan mana-mana pemimpin atau individu. Semua orang juga berhak mempunyai pandangan masing-masing. Tapi tidak perlulah berhimpun di jalanan sehingga menyusahkan orang lain atau ditahan oleh pihak yang berkuasa.

Berhimpun di jalanan ini lebih banyak keburukan dari faedah. Oleh itu kepada mereka yang berhasrat untuk berhimpun dan membuat kacau pada 9 Januari ini, lebih baik lakukan perkara lain yang lebih bermanfaat daripada menyusahkan orang lain.