Cuti sekolah tiba lagi…di pejabat-pejabat ramai yang bercuti. Banyak juga kenduri kahwin pada masa ini. Noli tidak suka menontong wayang pada waktu ini kerana biasanya penuh dan sukar untuk mendapat tempat duduk kegemaran.

Beberapa bulan yang lalu khabar angin mengatakan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) bakal berlangsung pada musim cuti sekolah kali ini cukup kuat. Ada blog dan portal yang membuat ramalan bahawa tarikh pembuangan undi bakal berlangsung pada 3 Jun atau 10 Jun.

Mereka mendakwa kononnya pihak pengurusan sekolah-sekolah yang akan menjadi pusat mengundi sudah pun diberikan taklimat dan sebagainya sebagai persediaan menghadapi pilihanraya.

Sebelum bulan Jun, pada awal tahun khabar angin begitu kuat mengatakan PRU-13 bakal berlangsung pada bulan Mac. Noli masih ingat seorang rakan sekerja dengan yakin berkata, “Datuk-Datuk semua dah beritahu I dah pilihanraya bulan Mac…..”.

Wah begitu yakin kawan Noli ini, jawab Noli di dalam hati. Sedangkan orang-orang politik dan Yang Berhormat-Yang Berhormat yang sedang menyandang jawatan sekarang pun ada yang kecut-perut dan tidak lena tidur memikirkan sama ada mereka bakal dicalonkan atau tidak dalam pilihanraya umum nanti.

Namun sehingga hari ini Parlimen masih belum dibubarkan. Maka teka-teki tarikh pilihanraya akan terus menjadi teka-teki. Berdasarkan laporan media Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru pulang ke tanah air dari lawatan kerja ke United Kingdom dan Amerika Syarikat. Pasti banyak tugasan yang beliau perlu bereskan sebelum membubar Parlimen.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan bahawa waktu paling sesuai mengadakan pilihanraya adalah selepas Aidilfitri Jika Najib  mengambil kira pandangan negarawan berkenaan ini  bermakna PRU-13 mungkin berlangsung dalam bulan September.

Jika benar PRU-13 akan berlangsung pada bulan September kemungkinan ia diadakan sebelum musim haji bermula.

Apa pun tarikh 3 Jun atau 10 Jun yang digembar-gemburkan menjadi tarikh pembuangan undi sejak bulan April lalu tidak akan menjadi kenyataan.

Namun di media sosial sudah ada pengguna Facebook yang membuat pengumuman tidak akan mengundi parti pemimpin ini dan itu pada PRU-13 nanti. Berdasarkan pengamatan Noli, kebanyakan bukan Melayu secara terang-terangan membuat kenyataan dan menyatakan pendirian tidak akan mengundi parti-parti tertentu. Sementara orang Melayu cuma memberikan pandangan sahaja tidak membuat pengakuan terbuka.

Kenapa perlu membuat pengakuan tentang undi yang bakal dibuat sedangkan Parlimen belum lagi dibubarkan? Mahu berkempen di kalangan rakan-rakan Facebook sendiri atau apa? Bukankah undi adalah rahsia?

Memandangkan Parlimen belum lagi dibubarkan mari kita lupakan seketika cakap-cakap pilihanraya.  Ayuh kita nikmati cuti sekolah dan menyambut kedatangan  bulan Jun dengan suasana ceria dan bebas dari kempen-kempen pilihanraya, setakat ini.