Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa Bajet 2013 akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September.

Sedikit sebanyak  pengumuman berkenaan boleh memberi bayangan bilakah Pilihanraya Umum ke-13  (PRU- 13) berkemungkinan diadakan.

Noli bertanya pada sifu Noli petang tadi mengenai kemungkinan PRU-13 diadakan selepas bajet.

Sifu Noli yang kini terlibat dalam ceramah-ceramah politik dan digembar-gemburkan bakal menjadi calon  di Selangor pada PRU-13 nanti tidak menolak ramalan berkenaan.

“Bajet dulu, esoknya Parlimen sudah boleh dibubarkan,” jawab sifu Noli.

Seorang lagi teman yang berkhidmat dalam sektor kerajaan juga berkongsi pandangan yang sama.

Jika PRU-13 diadakan terlebih dulu pasti bajet akan tertangguh kerana menunggu YB-YB baru mengangkat sumpah dan sebagainya. Tidak mungkin  Perdana Menteri akan membentangkan bajet di hadapan YB-YB baru..

Mungkin ada juga YB sedia ada pada masa ini akan menyaksikan pembentangan bajet kali terakhir pada 28 September nanti.

Jika PRU-13 akan diadakan selepas bajet berkemungkinan ia diadakan pada cuti sekolah penghujung tahun atau sebelum mahupun selepas peperiksaan awam di sekolah-sekolah diadakan.

Ini kerana sekolah-sekolah sering dijadikan tempat mengundi. Oleh itu tidak mungkin PRU-13 akan berlangsung ketika musim peperiksaan.

Apa pun pihak-pihak yang berkepentingan seperti anggota keselamatan, pegawai -pegawai kerajaan, petugas media dan sebagainya bolehlah mengambil cuti sebelum bajet dibentangkan.

Ini kerana selepas pembentangan bajet, Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa.

2012 memang tahun teka-teki pilihanraya bagi rakyat Malaysia. Dari khabar angin mengatakan ia bakal diadakan pada bulan Mac, beralih ke Jun dan hari ini khabar angin itu mengatakan PRU-13 selepas 28 September pula…….