Himpunan hijau tindak balas terhadap gelombang merah – Hishammuddin

JITRA 2 Jun – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Darul Aman dekat sini malam tadi, sebagai tindak balas terhadap “gelombang merah” yang melanda Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei lepas.

“Ini adalah tindak balas kepada apa yang mereka lihat sebagai satu gelombang dan kesedaran orang ramai terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

 

“Cara kaedah kempen mereka gunakan (iaitu tema) warna hijau, perhimpunan yang ada unsur-unsur program dengan yang muda, apa bezanya dengan program yang kita dah buat?” katanya kepada pemberita selepas program BN Pilihan Orang Muda di sini.

Perhimpunan 11 Mei lepas menyaksikan lebih 100,000 anggota Umno berpakaian merah berhimpun bagi sambutan ulang tahun ke-66 parti itu.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata PAS juga sudah tidak mempunyai modal kerana terpaksa mengikut kaedah serta ciri program anjuran BN untuk mendekati golongan muda. – BERNAMA

Sebelum ini Pas dan rakan-rakan pembangkang yang lain begitu ghairah berarak di jalan raya termasuk di Dataran Merdeka walau diberikan pilihan oleh pihak berkuasa untuk berhimpun di stadium. Tidak tahulah apa kurangnya berhimpun di stadium pada pandangan dan fikiran penyokong pembangkang.

Bagaimanapun setelah perhimpunan Gelombang Merah membuktikan penyokong UMNO dan BN mampu berhimpun di stadium dengan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini boleh pula puak pembangkang berhimpun di stadium baru-baru ini.

Tidak cukup dengan meniru strategi Gelombang Merah, nama yang diberikan pun lebih kurang serupa iaitu Himpunan Hijau. Rakan-rakan facebook Noli yang merupakan penyokong tegar pembangkang tidak henti-henti memuatnaik gambar Himpunan Hijau di facebook masing-masing kononnya mendapat sambutan hangat. Biarlah. Itu hak mereka.

Perhimpunan Gelombang Merah yang diadakan pada 11 Mei juga sedikit sebanyak memadamkan semangat dan momentum Bersih 3.0 yang berlangsung pada April. Apalagi rumah S.Ambiga jadi sasaran golongan peniaga yang terjejas dan mereka yang tidak berpuas hati dengan penganjuran Bersih 3.0. Sementara Tunku Aziz yang keluar DAP pula mengingatkan rakyat supaya memilih pemimpin yang mempunyai rekod yang baik.

 Jadi Himpunan  Hijau diadakan sebagai talian hayat atau menghangatkan semula momentum Bersih di kalangan penyokong pembangkang.

Kenapa di ambang Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong, penyokong Pas tidak buat himpunan menyokong institusi diraja di Kedah? Lagipun YDP Agong pada masa ini merupakan Sultan Kedah. Tindakan itu  mungkin dapat menjadi damage control terhadap tindakan Nizar Jamaluddin dari Pas yang menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berjaya memilik nombor pendaftaran WWW1 baru-baru ini.

Noli suka strategi gelombang merah dulu. Ketika perhimpunan hampir diadakan stesyen radio mengumumkan bahawa lebih 2,000 bas akan berada di kawasan Stadium Bukit Jalil dan pengguna jalanraya diingatkan supaya bersiap-sedia untuk menghadapi kesesakan lalu-lintas atau mengelakkan kawasan tersebut.

Perhimpunan Gelombang Merah seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang ramai dengan perhimpunan yang diadakan dengan membuat pengumuman terlebih dulu. Ini sikap yang baik dan bertimbang rasa serta  tidak menyusahkan rakyat.

Himpunan Hijau baru sedar sikap jangan menyusahkan orang lain dan tiru strategi Gelombang Merah…..Tidak mustahil selepas ini macam-macam strategi BN dan UMNO yang akan ditiru mereka.