Pemuda UMNO Johor anjur `Himpunan Menjunjung Taat Setia’ 10 Jun ini

JOHOR BAHARU 2 Jun – Pemuda Umno Johor akan menganjurkan “Himpunan Menjunjung Taat Setia” di Istana Pasir Pelangi di sini pada 10 Jun ini sebagai tanda sokongan rakyat terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd. Fadil Maskon berkata, himpunan yang disertai lebih 300 badan bukan kerajaan dari seluruh negeri itu juga diadakan sebagai tanda amarah terhadap tindakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikaikan bidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh baginda.

Beliau berkata, himpunan itu yang akan disertai lebih 5,000 orang, termasuk sayap parti Barisan Nasional, adalah sebagai tanda sokongan rakyat Johor kepada baginda dalam menghadapi apa jua isu serta menyatakan kesediaan rakyat Johor pertahankan institusi diraja daripada diperkotak-katik. – BERNAMA

Dalam entri sebelum ini Noli pernah membuat jangkaan bahawa tindakan Nizar akan memberi kesan negatif kepada pembangkang di negeri Johor terutamanya Pas.  Dan kini Pemuda UMNO Johor memainkan peranan mengumpul sokongan untuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai tanda taat setia mereka kepada institusi diraja negeri.

Sebagai seorang yang pernah berkhidmat di negeri Johor, Noli cukup sedar akan bagaimana warga negeri Johor menyanjung tinggi Sultan mereka. Justeru, Noli yakin perhimpunan Menjunjung Taat Setia ini akan mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat negeri Johor yang berbilang kaum.

Beberapa hari sebelum ini Nizar pernah mengeluarkan kenyataan memohon maaf di atas tindakannya. Beliau juga kini sedang disiasat pihak berkuasa.

Hari ini media melaporkan seorang jurutera dijatuhi hukuman denda dan penjara kerana menghina Sultan Perak melalui Internet. Semoga semua pihak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku. Institusi diraja bukan boleh diperkotak-katik atau sesiapa sahaja boleh mengeluarkan kenyataan sesuka hati tanpa berfikir terlebih dulu.

Daulat Tuanku!