Baru-baru ini kerajaan mengumumkan bahawa semua parti politik berpeluang mengumumkan manifesto masing-masing bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, syarat-syarat pengumuman manifesto berkenaan hanya akan diumumkan selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Ekoran langkah kerajaan mengumumkan keputusan mengenai manifesto tersebut banyak pandangan dikemukakan di media.

Salah satu pendapat mengatakan bahawa siaran pengumuman manifesto berkenaan diharap dilakukan dalam bentuk rakaman dan bukannya secara langsung supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini dan di luar kawalan.

Noli anggap pendapat ini sangat baik. Kerana parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) memang tertib dan  mematuhi prinsip Kesopanan dan Kesusilaaan seperti yang termaktub dalam Rukunegara kita. Kita tidak perlu risau dengan parti-parti komponen BN.

Yang dibimbangkan ialah parti-parti politik pembangkang. Sedangkan tindakan Sultan sebuah negeri di selatan negara juga boleh dipertikaikan secara terbuka di dunia twitter inikan pula jika diberi peluang bercakap secara langsung kepada seluruh rakyat Malaysia dalam tempoh berkempen.

Pemimpin parti pembangkang yang sama juga pernah menjerit di Dewan Rakyat selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen beberapa tahun dulu.

Menyentuh mengenai parti pembangkang, Noli rasa kita boleh agak apa manifesto mereka. kali ini. Pastinya impian-impian indah dan gula-gula yang lebih manis daripada gula-gula yang ditabur dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dulu.

Mungkin tindakan menurunkan harga minyak, hapuskan PTPTN , pendidikan percuma dan sebagainya bagi memastikan rakyat mampu hidup lebih senang berbanding di bawah payung BN akan menjadi manifesto pembangkang.

Namun,  Noli terfikir berapa banyak janji yang ditabur dalam kempen Pilihan Raya Umum 2008 dulu yang berjaya dipenuhi pembangkang pada hari ini? Selangor antara negeri di bawah pemerintahan pembangkang yang banyak masalah.

Dan jika tidak banyak janji kempen Pilihan Raya Umum 2008 yang berjaya pembangkang penuhi sehingga hari ini , apa jaminan pembangkang boleh tunaikan janji yang seterusnya.

Semua parti politik berhak menyatakan manifesto masing-masing dan rakyat pula berhak menilai dan mengkaji pencapaian setiap parti politik.

Pilihan terletak di tangan para pengundi. Pilihlah pihak yang rasional, bertamadun dan realistik.