Dadah: Wanita Malaysia ditahan di Bangkok direkrut warga Nigeria

Noor Rashid

KUALA LUMPUR 8 Jun – Polis percaya wanita Malaysia yang ditahan di Bangkok, Thailand bersama dadah seberat 4.8 kilogram bernilai AS$500,000 (RM1.55 juta) kelmarin, merupakan keldai dadah yang direkrut oleh sindiket pengedaran dadah didalangi warga Nigeria.

Malah, suspek Noor Shahidah Osman, 47, dipercayai turut mengetahui bahawa 11 beg tangan yang disimpan dalam bagasi yang dibawa mengandungi dadah meskipun mendakwa tidak mengetahui perkara tersebut semasa membeli beg tangan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya percaya suspek merupakan antara wanita tempatan yang dijadikan mangsa oleh sindiket dadah antarabangsa didalangi lelaki warga Nigeria untuk menyeludup dadah.

Beliau berkata, taktik menggunakan wanita tempatan sebagai kurier dadah oleh warga Nigeria memang sudah lama berlaku di negara ini dan banyak kali didedahkan dalam media massa sebelum ini.

“Namun, amat mengecewakan apabila pendedahan mengenai kisah malang menimpa keldai dadah yang didedahkan sebelum ini, gagal memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia terutama golongan wanita yang sudah terpikat dengan jejaka Afrika.

“Sebagai contoh, kes terbaru membabitkan wanita yang ditangkap di Bangkok kelmarin, jelas menunjukkan bahawa masih ramai lagi gadis Malaysia tidak mengambil iktibar daripada nasib malang menimpa rakan senegara yang diberkas di luar negara sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, agensi berita asing di Bangkok melaporkan, seorang wanita Malaysia ditahan dalam satu rampasan terbesar dadah jenis methamphetamine di lapangan terbang Bangkok, kelmarin.

Menurut Pengarah Biro Siasatan Kastam Thailand, Rakop Srisupaat, Noor Shahidah ditangkap selepas dadah seberat 4.8 kilogram bernilai AS$500,000 (RM1.5 juta) ditemui dalam begnya ketika dia tiba dari Benin, Afrika Barat.

Beliau berkata, dadah yang dipercayai akan dijual di Bangkok, ditemui disembunyikan dalam 11 beg tangan yang disimpan dalam bagasi wanita itu tetapi suspek mendakwa tidak menyedari dadah tersebut disembunyikan di dalamnya semasa membeli beg tangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimaklumkan mengenai tangkapan tersebut oleh pihak berkuasa Thailand dan akan berusaha membantu mengesan sindiket terlibat dalam pengedaran dadah itu jika mereka berada di negara ini.

Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah dari Nigeria memang mencari mangsa di kalangan wanita tempatan untuk direkrut sebagai keldai dadah bagi membantu mereka membawa dadah ke luar negara atau masuk ke Malaysia dengan cara memikat mangsa terlebih dahulu.

“Warga Nigeria yang berada di negara ini akan mencari mangsa yang kebiasaannya berusia lingkungan 30-an melalui Internet, kedai kopi atau restoran.

“Melalui perkenalan itu, mereka akan cuba memikat mangsa sehingga jatuh cinta dengan memberi layanan istimewa seperti membeli hadiah mahal dan membawa mereka melancong,” katanya.

Menurutnya, setelah mangsa jatuh cinta, sindiket terbabit akan mempengaruhi wanita tersebut agar sanggup direkrut menjadi keldai dadah untuk membantu mereka membawa dadah masuk ke Malaysia atau lain-lain negara. – www.utusan.com.my

Biarpun sudah banyak laporan mengenai kejadian keldai dadah kebelakangan ini mangsa terbaru masih bertambah. Apakah rakyat Malaysia memang kurang bijak dan berhati-hati atau generasi pada masa ini memang jarang membaca akhbar dan mengambil iktibar daripada kejadian sebelum ini yang dilaporkan.

Noli yakin generasi muda pada masa ini tidak mengambil berat untuk membaca akhbar dan mengetahui tentang perkembangan semasa di dalam dan luar negara. Hasil pergaulan Noli dengan generasi muda pada hari ini kebanyakannya tidak tahu apabila ditanya mengenai perkara-perkara yang dilaporkan di media.

Mereka hanya hidup dalam dunia mereka sendiri atau mungkin terpengaruh dengan filem-filem cinta yang ditonton di panggung wayang, sinetron Indonesia, telenovela Filipina, filem Hindi dan Hollywood.

Filem cinta seperti seorang wanita dari keluarga susah di kampung menjadi senang-lenang selepas jatuh cinta dengan jejaka yang berwang dan selepas itu dapat hidup serba mewah dan  bahagia ke akhirnya mungkin menjadi inspirasi anak gadis masa kini.

Justeru apabila bertemu dengan sindiket-sindiket yang menaburkan janji manis dan memujuk mereka menjadi keldai dadah mereka pun gelap mata dan setuju.

Wanita muda pada zaman sekarang perlu diingatkan bahawa untuk menikmati kesenangan perlu bekerja keras dan mengambil masa. Tidak ada kesenangan yang boleh dinikmati dalam masa yang singkat dan mudah.

Jika malas berusaha dan bekerja untuk memperbaiki taraf hidup maka wanita muda akan mudah terjebak dengan perangkap cinta sindiket keldai dadah.

 Oleh itu, wanita muda pada masa ini perlu diingatkan supaya bekerja dan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan taraf hidup.

 Jangan terlalu mengharapkan untuk berjumpa dengan lelaki yang boleh memberikan kesenangan kerana kesenangan hasil usaha sendiri adalah lebih bermakna.