Pekerja ladang dirogol penjual karpet
NORFARAHAH OTHMAN
13 Jun 2012
 

BENTONG – Seorang pekerja ladang dirogol penjual karpet warga asing dalam semak di Kilometer 24 Jalan Karak-Kuala Pilah, ketika wanita itu sedang berjalan pulang, kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.

Mangsa yang berusia 45 tahun itu sedang berjalan kaki apabila penjual karpet itu, yang menunggang motosikal, menghampiri dan mengheretnya ke kawasan semak, 50 meter dari situ. Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi  Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, lelaki terbabit memberhentikan motosikalnya dan mengheret mangsa ke semak berhampiran kira-kira 50 meter dari jalan utama.

“Mangsa menjerit meminta tolong, namun lelaki terbabit merogolnya, sebelum melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian. Mohamad Mansor berkata, orang awam yang nampak motosikal itu di tepi jalan berasa curiga. Mereka pergi ke kawasan itu dan menemui wanita itu.

“Polis menahan suspek berusia 25 tahun pada hari yang sama ketika cuba melarikan diri di kawasan ladang berhampiran,” katanya. Lelaki itu direman seminggu. – Sinar Harian

Berita rogol lagi. Hampir setiap hari ada berita mengenai jenayah rogol yang berlaku di merata tempat di negara kita. Mangsanya tidak mengira umur dari kanak-kanak sehingga usia yang layak digelar nenek. Tidak mungkin kanak-kanak atau nenek berkenaan dirogol kerana mereka berpakaian seksi dan memberahikan penjenayah.

Lebih memalukan ada pelancong asing yang turut menjadi mangsa rogol di negara kita. Sedangkan para pemimpin memberikan gambaran bahawa Malaysia negara Islam yang progresif.

Kes-kes  yang dilaporkan di media merupakan kes-kes yang sampai kepada pihak berkuasa. Siapa tahu mungkin banyak lagi kes rogol yang tidak dilaporkan kerana mangsa malu, tertekan, tidak mempunyai keberanian untuk tampil membuat laporan atau mangsa masih di bawah umur dan tidak menyedari bahawa dia dirogol.

Dalam membendung jenayah rogol, apa yang penting golongan wanita tidak kira usia, paras rupa dan penampilan perlu sentiasa berwaspada dan beringat-ingat.

 Buangkan pemikiran seperti `Aku sudah tua siapalah yang berselera dengan aku lagi’, atau `Aku bukannya cantik pun siapalah yang hendak pandang,’. Ini kerana jenayah rogol kadangkala berlaku apabila penjenayah melihat adanya peluang.

Seperti kejadian rogol yang dilaporkan dalam berita di atas, mangsanya berusia 45 tahun dan bekerja di ladang. Jadi mustahil mangsa berpakaian seksi dan ghairah sehingga menyebabkan beliau dirogol.

 Golongan wanita juga dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada berada di kawasan-kawasan yang sunyi dan terpencil walau di siang hari. Ini kerana sekiranya berlaku sebarang jenayah di kawasan yang sunyi, orang ramai tidak akan mendengar jeritan mangsa.

Sementara golongan lelaki tidak kira umur perlu sentiasa sedar bahawa mereka merupakan  pelindung kepada golongan wanita tidak kira usia dan siapa wanita berkenaan sama ada kakak, adik, ibu, teman mahupun wanita yang tidak mereka kenali.

Golongan lelaki perlu memastikan wanita dalam keluarga mereka tidak terdedah kepada bahaya seperti membiarkan wanita berkenaan berada di tempat sunyi ketika berada di luar rumah.

Seorang teman pernah berkongsi pendapat dengan Noli, kadangkala beliau fikir industri pelacuran di negara kita perlu diberikan ruang. Ini kerana golongan pendatang yang meninggalkan isteri di kampung halaman masing-masing tetap perlu memenuhi tuntutan nafsu mereka dengan apa cara sekalipun.

Apabila nafsu gagal dikawal maka berlakulah kejadian seperti yang dilaporkan di atas. Entahlah perkara ini terlalu subjektif bagi Noli. Namun setiap orang berhak memberikan pandangan.

Apa yang penting golongan wanita tidak kira usia perlu mengutamakan keselamatan dan sentiasa  berwaspada. Sementara golongan lelaki pula perlu menghormati wanita, melindungi mereka, bertanggungjawab dan bijak mengawal nafsu.