Baru-baru ini tindakan Pas yang meminta jentera partinya supaya menangguhkan hasrat untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini mendapat liputan meluas akhbar media perdana. Biarpun belum anda sebarang jaminan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan pada musim haji, Pas sudah mengambil langkah proaktif.

Kenapa Pas begitu proaktif untuk menghadapi pilihan raya? Adakah kerana mereka begitu yakin atau sebaliknya? Jika dikaji dengan teliti Pas kebelakangan ini berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Terbaru, Mursyidul Amnya, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat menyifatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai gatal mulut.Mufti Perak sangat dihormati oleh sebahagian besar umat Islam di negara ini kerana beliau adalah ulama dan bukan seorang ahli politik yang boleh berubah-ubah pendirian demi kepentingan tertentu.

 Ini belum lagi isu Pesuruhjaya Pas Perak yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mempertikai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berjaya membida nombor pendaftaran WWW1 pada harga lebih RM0.5 juta.

Biarpun sudah menyatakan hasrat untuk meminta maaf dan mengadap baginda namun rakyat masih marah dengan tindakan tersebut.

Perbuatan Nizar pastinya akan memberikan kesan negatif kepada Pas pada pRU-13 terutamanya di negeri Johor. Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Hassan Ali juga lantang mengkritik Pas kebelakangan ini. Berdasarkan laporan media arus perdana ceramah Hassan  kian mendapat sambutan.

Pemimpin Pas juga berdiam diri apabila pemimpin DAP Karpal Singh membuat kenyataan bahawa DAP akan memperjuangkan Perdana Menteri bukan Islam untuk menerajui Malaysia.

Kesemua perkembangan di atas adalah cabaran-cabaran yang  dihadapi oleh Pas menjelang PRU-13. Rakyat menilai tindak-tanduk pemimpin Pas dalam menangani setiap isu.

Jadi demi memastikan sokongan terhadap Pas tidak tergugat maka langkah menangguhkan haji diumumkan bagi jentera parti.  Kita tunggu apa lagi taktik Pas selepas ini.