Jerebu berlaku lagi. Sejak semalam media melaporkan jerebu berlaku di Pulau Pinang dan Lembah Klang. Bacaan indeks pencemaran udara dan jarak penglihatan di beberapa bandaraya juga dilaporkan kurang sihat.

Biasanya jerebu yang berlaku di Malaysia berpunca daripada kebakaran hutan di negara jiran iaitu Indonesia terutamanya di Sumatera.

Sejak Noli menyertai dunia kewartawanan pada tahun 1997, masalah jerebu menjadi seolah-olah acara tahunan sehingga ke hari ini. Pada tahun 1997, jika Noli tidak silap anggota Jabatan Bomba  dan Penyelamat Malaysia ada ke Indonesia untuk membantu mengawal kebakaran hutan yang menjadi punca jerebu berlaku di negara ini

Dan sejak dari itu juga masalah jerebu sering dibangkitkan pada pelbagai mesyuarat termasuk mesyuarat menteri-menteri di peringkat ASEAN. Namun, seolah-olah tidak ada tindakan yang betul-betul konkrit  selepas masalah jerebu dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat.

Saban tahun, jerebu tetap datang dan pergi. Entah bila masalah jerebu ini dapat ditangani dengan berkesan. Apakah negara yang menjadi punca jerebu iaitu Indonesia tidak serius dalam menangani masalah kebakaran hutannya dan suka melihat Malaysia berhadapan dengan masalah jerebu dari semasa ke semasa?

Hanya Tuhan yang tahu apa yang ada di fikiran dan hati mereka.

Jerebu boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit mata, sakit tekak dan memburukkan keadaan para pesakit asma.

Cuba bayangkan kalau kebakaran hutan di Malaysia mengakibatkan masalah jerebu di Indonesia. Pasti Kedutaan Malaysia di Jakarta akan menyaksikan demonstrasi, akan ada sidang akhbar mengutuk Malaysia dan rakyat Malaysia atau silap-silap ada gerakan Sweeping Malaysia iaitu mengesan warga Malaysia.

Sudah menjadi lumrah warga Indonesia apa saja isu membabitkan Malaysia akan diselesaikan dengan berdemo di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta. Pantang terdengar sebarang isu seperti budaya Indonesia yang kononnya dicuri, nelayan Indonesia yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia atau apa-apa sajalah semuanya hendak buat demonstrasi.

Apakah Jakarta mempunyai ramai warga yang tidak mempunyai pekerjaan sepenuh masa secara profesional dan boleh mengadakan demonstrasi bila timbul sebarang isu membabitkan Malaysia dan Indonesia?

Namun, saban tahun apabila Malaysia berhadapan dengan masalah jerebu yang berpunca dari kebakaran hutan di Indonesia, rakyat dan pemimpin negara ini bersikap rasional. Apa yang dilakukan hanyalah  menasihatkan rakyat menjaga kesihatan dan mengurangkan aktiviti di luar rumah atau pembakaran terbuka.

Apa kata sesekali rakyat Malaysia mengambil pendekatan yang sama dengan warga Indonesia iaitu mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Mungkinkah selepas itu masalah jerebu akan selesai atau tindakan lebih proaktif akan dikaji?

Bersamalah kita menjaga kesihatan sepanjang musim jerebu kali ini.