Ketika mula bekerja pada tahun 1997 Noli menggunakan pengangkutan awam. Selalunya Noli naik bas Intrakota atau Metro.
Ketika pilihanraya umum 1999 pula Noli sering menaiki teksi kerana gaji sudah naik sikit dan sering pulang kerja lewat selepas 9 malam.
Noli tinggal di kawasan Pantai Dalam waktu itu. Seorang teman pernah berkata ramai warga KL pernah tinggal di Pantai Dalam sewaktu mula berhijrah ke ibu kota. Entah betul entah tidak.
Sewaktu pilihanraya umum 1999 sentimen Anwar Ibrahim dan reformasi baru bercambah. Noli masih ingat pemandu teksi yang Noli naik kebanyakannya tidak menyokong kerajaan dan sering menyuarakan rasa tidak puas hati. Noli cuma dengar dan cuba memahami yang kebanyakan pemandu teksi anti-kerajaan.
Pada tahun 2001 Noli berjaya memiliki kereta pertama sendiri dan tidak lagi menaiki teksi.
Namun Noli tetap mendengar cerita mengenai pemandu teksi semuanya penyokong pembangkang dari rakan-rakan yang masih menggunakan teksi sehinggalah ke hari ini.
Skim Bantuan Tukar Tayar 1Malaysia atau TR1MA yang diumumkan kerajaan baru-baru ini merupakan bukti kerajaan prihatin dengan kebajikan para pemandu teksi.
Mengikut skim itu kerajaan secara dasar bersetuju memberi bantuan RM520 untuk membeli empat tayar kepada setiap pemandu teksi berdasarkan anggaran harga tayar RM130 setiap satu.
Oleh itu para pemandu teksi janganlah pula anggap kerajaan tidak peduli kebajikan mereka sama sekali.
Mungkin dulu ada kekurangan dalam menjaga kebajikan para pemandu teksi. Skim TR1MA merupakan bukti kerajaan komited dalam memperbaiki segala kelemahan dalam memahami kesulitan yang dialami para pemandu teksi.

Apa yang penting ialah sikap memperbaiki kelemahan dan kekurangan dari semasa ke semasa dan tidak hanya berpeluk tubuh melihat masalah yang dihadapi golongan pemandu teksi.
Tindakan memperbaiki kelemahan satu persatu merupakan inisiatif ke arah pembaikan dan kesempurnaan nasib para pemandu teksi di Malaysia.