Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sudah disiasat kerana kenyataan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam twitter berhubung nombor pendaftaran WWW1.

Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa murka baginda ekoran tindakan itu. Dan baru-baru ini ada lagi pelajar, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengeluarkan komen biadab terhadap baginda.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Tunku Ibrahim baru-baru ini membuat kenyataan kenapa selalu Melayu yang hendak jatuhkan raja.

Entahlah Noli pun sudah tidak tahu apa hendak cakap lagi.  Nampaknya seolah-olah ada yang tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku.

 Atau ada yang sudah lupa dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Sementara prinsip kedua pula ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Orang Melayu tidak boleh menghina sesama sendiri secara terbuka. Ia memberi gambaran yang negatif kepada banyak `pihak luar’. Atau mungkin menimbulkan hilangnya rasa hormat mereka kepada orang Melayu.

Sebagai contoh, sesama adik beradik dalam satu keluarga pasti ada yang tidak sependapat. Namun kita tidak canangkan kepada orang lain bahawa kita tidak sukakan darah daging sendiri. Semua ini demi memelihara maruah keluarga.

  Begitu juga orang Melayu, maruah bangsa perlu dijaga. Jangan kurang ajar dengan raja secara terbuka.

Ingatlah, apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu sama ada  di antara raja dan rakyat dan di antara parti-parti politik diperhatikan oleh `orang lain’ di dalam dan luar negara.

Lebih baik berhati-hati.