Twitter memang semakin popular di Malaysia. Dari pemimpin, artis hinggalah ke pelajar sekolah kini memiliki akaun Twitter. Ada yang mengatakan Twitter lebih popular dari laman sosial facebook kini.

Baguslah. Segala maklumat mengenai sesiapa yang berkenaan dengan kita seperti artis yang diminati, pemimpin yang kita sanjung dan rakan-rakan yang kita hargai kini berada di hujung jari.

Pergerakan mereka dan perasaan mereka boleh diketahui melalui telefon pintar sahaja.

Namun, Twitter tidak hanya membawa pengaruh positif. Contoh terbaik bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menggunakan platform Twiter untuk mempertikai tindakan Sultan Johor.

Hari ini polis merampas komuter riba Nizar. Biarpun tindakan Nizar terhadap Sultan Johor dik ecam pelbagai pihak masih ada yang tidak mengambil pengajaran dari episod tersebut.

Seorang pelajar universiti kemudiannya mengeluarkan komen menyentuh mengenai baginda Sultan Johor juga melalui Twitter.

Ramai juga artis yang mengeluarkan komen-komen yang tidak manis melalui Twitter mereka. Ada yang bergaduh dan menyuarakan rasa tida puas hati terhadap kekasih mahupun artis lain di Twitter.

Mengikut sebuah blog hiburan, baru-baru ini tersebar khabar angin bahawa pelakon veteran Datuk Aziz Sattar bercerai. Sebelum itu keluar pula cerita pelakon popular Remy Ishak meninggal dunia.

Arwah Bob Kuman turut dikatakan meninggal dunia sebelum arwah benar-benar pergi buat selamanya. Pelawak Osman Kering dan seniwati Azean Irdawaty antara yang pernah dikhabarkan meninggal dunia melalui Twitter namun berita itu disahkan tidak benar.

Diharap mereka yang menggunakan Twitter perlu berhemah dan pastikan perkara yang  ditulis adalah pasti dan tidak mengaibkan atau menyentuh perasaan mana-mana pihak.

Kemudahan media sosial seharusnya menjadikan hidup kita lebih mudah, ceria dan harmoni. Bukannya menimbulkan gempar dan kecoh apabila berita tidak benar tersebar dan menyakitkan hati orang lain.