JAKARTA – Sungguhpun telah diberi penjelasan bahawa Malaysia tidak berhasrat untuk mendakwa sebagai pemilik seni budaya tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan Mandailing (Gendang Sembilan Mandailing), media Indonesia terus menghangatkan isu itu dengan dakwaan kononnya Malaysia mahu mencuri kebudayaan itu.

Sekumpulan 20 mahasiswa sebuah universiti di sini pula, hari ini mengadakan tunjuk perasaan dan kemudian melempar sejumlah telur ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan.

Para pelajar Universiti Mpu Tantular itu melemparkan telur dan beg plastik berisi telur ke kawasan depan pintu utama Kedutaan Besar Malaysia, melepasi kepala sejumlah anggota polis Indonesia yang berkawal di hadapan pintu pagar utama.

Mereka melakukannya di bahagian akhir demonstrasi yang berlangsung kira-kira 40 minit, bermula pada pukul 1.30 petang.

Beberapa orang pelajar berucap dalam demonstrasi berkenaan, mengutuk dan memaki hamun Malaysia.

Kontroversi mengenai tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan Mandailing itu bermula apabila media di Indonesia mengutip kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 14 Jun di Kuala Lumpur bahawa kedua-dua kesenian yang diamalkan masyarakat Mandailing di Malaysia itu akan diiktiraf sebagai satu cabang warisan negara Malaysia.

Pelbagai pihak di Indonesia curiga dengan langkah yang akan diambil Malaysia dan terus mendakwa kononnya Malaysia ingin mendaftarkan kebudayaan masyarakat Mandailing itu sebagai milik negara.

Pihak Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan Persatuan Masyarakat Mandailing Malaysia sudahpun memberi penjelasan kepada Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur mengenai kedudukan sebenar perkara itu dan disampaikan kepada kerajaan Indonesia.

Selain itu pihak Kedutaan Besar Malaysia di sini semalam memberikan penjelasan kepada dua senator dari suku Mandailing dan Batak Sumatera Utara, dengan penegasan bahawa pengiktirafan itu bukan bermaksud Malaysia mahu mengaku sebagai pemilik budaya berkenaan.

Pengiktirafan itu dimohon dan diperjuang sekian lama oleh masyarakat Mandailing di Malaysia, yang mahukan budaya mereka juga diiktiraf di peringkat nasional sebagaimana pengiktirafan kepada budaya masyarakat Cina dan masyarakat India serta beberapa etnik lain di Malaysia. – BERNAMA

 

Sudah menjadi budaya dan cara berfikir masyarakat ini semuanya perlu diselesaikan dengan demonstrasi dan cara yang tidak bertamadun. Noli pun sudah tidak tahu cakap apa lagi.

Semoga masyarakat Malaysia terpelihara daripada menjadi pendek akal….