Insiden kanak-kanak meninggal dunia kerana ditinggalkan atau tertinggal dalam kereta pernah dilaporkan di media.
Namun kejadian itu tetap berlaku
Terbaru seorang guru di Johor Bahru terlupa anaknya ditinggalkan tidur di tempat duduk belakang dan hanya menyedarinya lebih lima jam kemudian.
Anaknya kemudian disahkan sudah meninggal dunia.
Semua orang pasti sedih membaca berita ini.
Tetapi di sebalik kesedihan kita perlu mengambil pengajaran.
Jangan sesekali tinggalkan kanak-kanak di dalam kereta walau untuk seminit.
Kenapa agaknya kejadian yang pernah dilaporkan ini sering berlaku?
Sama ada laporan kejadian yang sama sebelum ini tidak diambil sebagai pengajaran atau masyarakat sekarang tidak membaca akhbar arus perdana.
Noli sering diberitahu oleh beberapa kenalan bahawa mereka tidak membaca akhbar itu dan ini.
Cuma membaca blog atau portal politik yang hanya menghidangkan bahan-bahan politik terutamanya mengutuk dan menyerang parti-parti lawan.
Akibatnya golongan ini tidak peka dengan trend jenayah dan contoh kecuaian yang boleh menyebabkan kemalangan.
Hasilnya jumlah keldai dadah tetap bertambah biarpun banyak peringatan dikeluarkan dan ada ibu bapa yang masih cuai dan meninggalkan anak dalam kenderaan.