Tol motosikal jambatan dihapus jika BN rampas Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM – Barisan Nasional (BN) akan meminta Kerajaan Pusat agar menghapuskan tol laluan motosikal Jambatan Pulau Pinang jika menawan kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Janji itu disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, ia merupakan salah satu perkara akan dimasukkan dalam manifesto BN negeri demi  meringankan penunggang motosikal.

Menurutnya, penghapusan tol itu sekali gus memberi manfaat kepada pengguna motosikal berjumlah kira-kira 15,000 orang yang melalui jambatan setiap hari untuk berulang-alik dari tanah besar ke bahagian pulau.

“Jika kita lihat, hanya Pulau Pinang sahaja satu-satunya negeri yang mengenakan tol untuk motosikal. Meskipun ia hanya RM1.40, tetapi jika dicampur dengan duit minyak yang perlu diisi kira-kira RM3 sehari, agak membebankan pengguna yang majoritinya adalah pekerja.

“Justeru, kita akan minta kerajaan pusat mengkaji semula untuk menghapuskan tol di jambatan sekiranya kita kembali memerintah Pulau Pinang pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Juara Rakyat ‘Himpunan Anak Muda’ Bahagian Bukit Mertajam di Padang Awam Cherok Tokun, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan dan Pengerusi Juara Rakyat Umno Bahagian Bukit Mertajam, Ramlan Ishak. – Sinar Harian

Ramai yang mengatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini agak sukar untuk Barisan Nasional menawan kembali Pulau Pinang yang kini dikuasai DAP.

Namun tidak salah untuk BN mencuba dengan sedaya-upaya dan melakukan yang terbaik untuk merampas kembali BN.

Hari ini salah satu janji yang diberikan untuk orang Penang ialah menghapuskan tol jambatan Pulau Pinang untuk motosikal.

Kemampuan BN untuk menepati janji memang sudah terbukti. Jadi mamu-mamu, mami-mami dan nana-nana di Penang percayalah. Nanti hari-hari boleh dok lalu titi dengan motor free tak payah bayaq tol. Kalau bagi BN menangla……