Maut ditikam kerana Facebook

BATU PAHAT 24 Jun – Akibat sindiran di laman sosial Facebook, seorang remaja lelaki maut dibelasah dan ditikam di badannya dalam satu kejadian berdekatan sebuah pusat membeli-belah di Taman Flora, di sini malam tadi.

Lebih malang, sindiran itu dikatakan bukan ditulis oleh mangsa sebaliknya oleh kenalannya.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Aw Soon Meng , 17, ditikam dengan objek tajam dipercayai pisau dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai di sini.

Kejadian dikatakan akibat suspek tidak berpuas hati dengan sindiran ditulis seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Kelvin iaitu rakan kepada mangsa.

Pada hari kejadian, suspek yang berusia 20-an bersama tiga rakannya pergi ke pusat membeli-belah itu untuk mencari Kelvin, namun tidak menemuinya.

Sebaliknya, mereka menemui mangsa di situ dan disebabkan tidak dapat bertemu Kelvin, perang mulut berlaku antara suspek dan mangsa.

Suspek kemudiannya telah mengetuk kepala mangsa yang kemudiannya membalas dengan menghamburkan kata-kata kesat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, tindakan mangsa menyebabkan suspek naik berang sehingga membelasah dan menikam mangsa.

Katanya, suspek kemudiannya melarikan diri setelah menyedari kehadiran dua anggota polis yang berkejar ke tempat kejadian apabila menerima laporan daripada orang ramai.

“Anggota polis dengan bantuan orang awam berjaya menahan dua remaja berusia 17 dan 20 tahun, dipercayai rakan suspek. Bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Din berkata, polis juga telah membuat pemeriksaan di rumah suspek di Senggarang di sini dan sebuah premis yang sering dijadikan tempat suspek berkumpul dekat sini, namun pemuda itu tidak ditemui.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.-utusan.com.my

Seingat Noli kes bunuh ekoran komen di facebook pernah dilaporkan di luar negara. Namun di Malaysia rasanya ini pertama kali kita dengar.

Kalau kes putus cinta, bercerai-berai dan hubungan dingin dengan majikan kerana pekerja mengutuk bos di facebook sudah biasa kita dengar.

Tapi kali ini sampai berbunuh kerana komen di facebook. Komen itu pula bukan dibuat oleh pemilik akaun sendiri tetapi kenalannya. Dalam bahasa mudah, facebook si mangsa kena hijack.

Masalah facebook kena hijack memang sering berlaku. Facebook kenalan lelaki Noli pernah dihijack dan statusnya ditulis sebagai Saya Sayang …(nama seorang lagi kenalan lelaki). Ini bermakna teman yang merampas akaun facebook itu berniat memberikan gambaran bahawa pemilik sebenar akaun facebook berkenaan adalah seorang gay.

Sementara facebook seorang lagi rakan yang dirampas pula menunjukkan status  yang berbunyi `Saya tahu saya memang comel…’ dan status berkenaan mengundang pelbagai komen dari rakan-rakan facebook.

Mungkin contoh gurauan yang Noli berikan ini boleh membuatkan kita ketawa. Tapi kalau sampai berbunuh-bunuh hanya kerana komen-komen di facebook ini sudah tidak boleh dibuat main. 

Marilah kita semua mengambil pengajaran dari kejadian ini. Jangan sampai hilang nyawa hanya kerana celupar di alam maya.

Gunakanlah facebook secara matang, beretika dan waras. Jangan pula sampai hendak berbunuh atau berparang hanya kerana komen-komen di facebook.