Semalam Noli berjumpa dengan rakan lama. Kami duduk berborak sehingga hampir empat jam lamanya. Banyak cerita yang kami kongsi dari gosip sehinggalah kerenah kawan-kawan lama.

Salah satu topik yang menjadi perhatian ialah mengenai sikap kawan-kawan kami yang gemar meletakkan pelbagai status di facebook dan mengumumkan pelbagai perkara di twitter.

Noli jarang meletakkan status yang bukan-bukan di facebook. Teman Noli pula memberitahu dia pula tidak suka orang meletakkan atau menulis apa-apa berkaitan politik di wallnya.

Namun ada di antara rakan kami yang meletakkan pelbagai status kerana ingin menggambarkan dirinya seolah-olah orang penting dalam pejabat atau syarikat, pencinta agama bangsa dan tanah air dan sebagainya.

Noli tidak kisah jika ada yang meletakkan berita-berita terkini untuk dikongsi di facebook kerana itu adalah maklumat.

Tetapi ada yang  menulis yang bukan-bukan marah, merajuk dan tidak puas hati semuanya mahu diletakkan di laman sosial.

Perlukah buat begitu? Entahlah…Terpulang kepada pandangan individu. Namun pada pandangan Noli jika apa juga perasaan kita dari yang kecil-kecil sehingga yang besar-besar pun mahu dikongsi di laman sosial sedikit-sebanyak tindakan itu memberikan gambaran bahawa kita seolah-olah inginkan perhatian.

Atau kita mungkin sukar menguruskan perasaan, emosi dan tekanan sehingga apa juga rasa perlu ditulis di laman sosial.

Jika benda itu sesuatu yang benar-benar bermakna seperti majlis konvokesyen, bayi baru lahir, pernikahan atau sambutan hari jadi, itu mungkin boleh diterima jika diletakkan di laman sosial. Berkongsi detik-detik kegembiraan dalam hidup dengan rakan-rakan.

Tetapi ada yang mengambil gambar setiap apa yang dimakan  atau benda-benda yang bukan-bukan. Entahlah mungkin individu yang berbeza mempunyai pandangan yang berbeza mengenai hal ini. Bagi Noli setiap orang perlu ada ruang eksklusif atau privasinya tersendiri.

Berkongsi kata-kata motivasi bagi Noli adalah baik.

Namun perkara-perkara yang boleh menimbulkan perang mulut, menggambarkan kita tidak matang dan membuatkan orang meluat tidak perlulah diletakkan atau ditulis di laman sosial.

Jika terlalu kerap berbuat demikian bimbang ia membawa persepsi negatif kepada diri sendiri juga.