Isnin lalu Noli ke Floria Putrajaya. Tidak silap Noli sejak tahun 2010 Noli tidak pernah melepaskan peluang untuk berkunjung ke Floria Putrajaya. Bagi Noli kunjungan ke Floria pasti akan membangkitkan suasana ceria apabila melihat bunga-bungaan yang berbau segar dan beranika warna.

Permaidani bunga yang berwarna-warni menjadikan jiwa begitu tenang dan damai selain menyegarkan mata.

Yang paling menarik perhatian Noli pada Floria kali ini adalah sudut hiasan bunga-bunga Mawar dari Kenya. Noli tidak sangka negara Afrika berkenaan turut menghasilkan bunga-bunga mawar yang indah dan berwarna-warni. Sedikit berbeza dengan mawar Malaysia.

Noli turut membeli dua jenis bunga mawar yang berwarna jingga kekuningan dan merah untuk hiasan di rumah. Bunga mawar berkenaan diterbangkan khas dari Nairobi ibu negara Kenya.

Kunjungan Noli ke Floria kali ini paling lama. Dari jam 3 petang hingga 10 malam. Habis semua sudut di Floria itu Noli terokai. Selepas makan malam di sebuah restoran dekat dengan tapak Floria, Umai namanya jika tidak silap, Noli menunggu acara perarakan bot berhias.

Tahun ini 2 negara asing iaitu Kenya dan China turut mengambil bahagian dalam acara bot berhias. Noli sukakan bot dari negara China yang penuh dengan identiti negara berkenaan dan wilayah yang diwakilinya.

Sementara bot dari Kenya penuh dengan suasana di taman safari yang menghijau tidak seperti safari di negara lain yang hanya dipenuhi tanah merah.

Setiap malam 15 buah bot berhias akan berarak di tasik berhampiran Jambatan Warisan di Precinct 2 Putrajaya. Bot-bot yang berwarna-warni ditambah dengan lampu jambatan yang mempunyai warna tersendiri menyerikan panorama malam di Putrajaya. Perarakan bot berhias berkenaan diikuti dengan percikan bunga api.

Sungguh indah suasana malam di Putrajaya sepanjang Floria berlangsung. Noli gembira kerana dapat menyaksikan perarakan bot berhias dan bunga api pada kunjungan ke Floria kali ini.

Bagi Noli, Floria Putrajaya berpotensi untuk menjadi tarikan antarabangsa jika lebih banyak negara mengambil bahagian dalam acara berkenaan dari semasa ke semasa.Semoga Floria  Puyrajaya bertambah berjaya dan meriah pada masa akan datang.

Syabas Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang memperkenalkan Floria Putrajaya dan kini merupakan acara tahunan……

Bot dari Kenya