“Baby hatch” di semua hospital kerajaan

PETALING JAYA — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang mewujudkan pusat perlindungan bayi atau ”baby hatch” di setiap hospital kerajaan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM Harjeet Singh berkata, ini adalah sebagai usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memerangi kes pembuangan bayi terutamanya kelahiran di luar nikah.

“Inisiatif ini masih di peringkat perancangan, namun sebagai langkah permulaan, kita menjalankan perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan bagi merealisasikan hasrat ini.

“Kita mahu hospital juga dapat berfungsi sebagai ”baby hatch” agar dapat menempatkan bayi dengan selamat untuk ibu-ibu terdesak yang tidak menginginkan bayi mereka,” katanya kepada pemberita pada konvesyen “Katakan Tidak kepada Pembuangan Bayi: Nyawa di Tangan Kita” di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, hari ini.— BERNAMA

Cadangan untuk mewujudkan baby hatch di setiap hospital kerajaan di seluruh negara memang langkah yang baik. Ini kerana hampir setiap minggu kita pasti terbaca mengenai bayi yang dibuang ditemui masih hidup atau sudah mati.

Ada yang digonggong anjing, ada yang dibalut dalam kertas surat khabar dan ada yang dibuang dalam tandas.

Jadi baby hatch di setiap hospital dapat membantu bayi tidak berdosa berkenaan untuk terus hidup dan menikmati kasih sayang dari mereka yang  terlalu inginkan cahaya mata.

 Teman Noli pernah berkata, seorang ibu yang terpaksa menjual diri, menjadi gro atau melakukan apa saja pekerjaan untuk memberikan sesuap nasi kepada anaknya adalah lebih mula dari seorang wanita yang membunuh anak yang dikandung dalam rahim sendiri.

Kita juga tidak mahu kes seperti bayi yang mati dalam beg galas ini berulang.

Pelajar Mengaku Sembunyi Bayi Dalam Beg Galas Sehingga Mati

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar berusia 16 tahun yang mengadu sakit perut dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, akhirnya mengaku dia baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayi itu dalam sebuah beg galas.

Beg galas yang mengandungi bayi perempuan yang dilahirkan pada jam 1 pagi Selasa itu kemudian diberi kepada rakan perempuannya tanpa memberitahu isi kandungan beg itu. “Mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dalam beg galas itu apabila doktor yang merawat pelajar terbabit menghubungi rakan pelajar itu dan memintanya membawakan beg berkenaan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan.
Beliau berkata, penipuan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini itu terbongkar pada 6 petang Selasa lalu apabila doktor yang merawatnya mendapati dia baru melahirkan anak.

“Pelajar berusia 16 tahun itu kemudian mengaku kepada doktor itu bahawa dia melahirkan seorang bayi perempuan di asrama sekolahnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat pelajar itu melahirkan bayinya, polis menemui gunting yang dipercayai diguna untuk memotong tali pusat bayi dan dibuang dalam tong sampah.

“Berdasarkan laporan bedah siasat terhadap bayi itu mendapati ada kesan lebam pada kepala dan terdapat air dalam paru-paru serta pendarahan yang teruk,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. – BERNAMA