Akhbar Sunday Star hari ini melaporkan mengenai bukit-bukau di Pulau Pinang semakin gondol kerana memberi laluan kepada pembangunan kondominum mewah.

Mungkin kerajaan negeri Pulau Pinang sekarang ingin Pulau Pinang mencontohi pembangunan di  Singapura yang penuh dengan kondominum dan pangsapuri sementara hartanah hanya mampu dimiliki oleh para jutawan.

Dalam keghairahan mengikuti pembangunan di Singapura, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu sedar Singapura tidak mengenepikan pemeliharaan alam sekitar.

Jika menaiki bas dari Stesen Larkin di Johor Bahru menuju ke kawasan Rochor di Singapura pokok-pokok lama dan besar masih dapat dilihat di kiri-kanan jalan utama di republik tersebut.

Ada ketika pokok-pokok yang dilihat di tepi jalan-jalan utama di Singapura adalah seumpama pokok-pokok di tepi jalan sekitar Taman Tasik Taiping yang begitu mendamaikan.

Lebih dari seorang teman Noli pernah membangkitkan bahawa bandaraya Singapura lebih hijau dan lebih banyak pokok dari Kuala Lumpur.

Ini membuatkan pengunjung yang bersiar-siar sekitar bandaraya Singapura merasa sejuk dan tenang dengan kehijauan pokok-pokok berkenaan.

Oleh itu, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu mengambilkira aspek menghijaukan negeri berkenaan dan bukan sahaja menaikkan bangunan-bangunan tinggi bagi menyamakan Pulau Pinang dengan Singapura atau Hong Kong.

Jika bangunan tinggi dibangunkan dengan sewenang-wenangnya di lereng-lereng bukit, dikhuatiri pada masa akan datang tragedi Kondominium Highland Towers bakal berulang.