Kebelakangan ini dan hari ini Noli terbaca banyak berita mengenai persepsi Barisan Nasional (BN) yang semakin baik. Berita sebegini ditulis sama ada dalam bentuk analisis mahupun kenyataan yang dikeluarkan dari mulut mana-mana pemimpin BN termasuklah pemimpin veteran.

Noli tidak nafikan persepsi BN memang semakin baik. Dengan pelbagai pembaharuan yang mendekatkan kerajaan dengan rakyat dan meringankan beban rakyat antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Teksi Rakyat 1Malaysia. BN lebih banyak membuat kebajikan biarpun tidak pernah menjadikan negara kebajikan sebagai manifestonya.

Namun hakikat sebenar sama ada prestasi BN betul-betul semakin baik hanya akan dilihat di kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Kenapa Noli kata begitu?

Kerana rakyat Malaysia ada yang plastik. Ada yang manis di mulut dan melemparkan senyuman di wajah namun dalam hati benci bukan main.

 Senario sebegini kita dapat lihat dalam kalangan kawan-kawan kita sendiri. Ada yang bukan main baik dan mengambil berat di depan mata kita namun di belakang mengutuk dan hanya bercakap benda-benda yang negatif serta tidak baik mengenai kita.

Perkara yang sama mungkin terjadi kepada BN sekarang. Memanglah Karnival Janji Ditepati berjaya menarik puluhan ribu pengunjung namun benarkah semua ini akan memangkah BN?

Atau ada yang datang sekadar meninjau karnival berkenaan dan mencari modal untuk mengutuk BN kemudian hari.

Macam-macam boleh berlaku.

Biarpun semakin ramai membuat analisa dan mengeluarkan kenyataan bahawa prestasi BN semakin baik. Itu tidak bermakna BN boleh lega dan selesa.

Sebaliknya teruskan atau kalau boleh tingkatkan perjuangan bagi memastikan tanggapan bahawa prestasi BN yang baik itu diterjemahkan di atas kertas undi dalam PRU-13 nanti.