Semalam berlangsung Himpunan Oren kononnya untuk selamatkan Felda dari penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia. Berdasarkan laporan pelbagai blog, ramai yang menyifatkan peserta Himpunan Oren bukannya peneroka sebaliknya penyokong Pas.

Entahlah. Noli tidak sertai himpunan mahupun keluar ke Kuala Lumpur semalam. Kebelakangan ini Kuala Lumpur sering menyaksikan pelbagai himpunan dengan pelbagai isu.

Himpunan Bersih pakai baju kuning, Himpunan Oren pakai baju oren. Rasa-rasanya ada atau tidak pihak yang mengaut keuntungan dari jualan baju-baju himpunan mengikut tema ini?

Sebelum itu ada himpunan membantah isu air dan beberapa isu lagi. Kuala Lumpur sudah jadi kota yang menyaksikan himpunan pelbagai tema dan warna dari masa ke masa.

Noli rindukan Kuala Lumpur ketika Noli berhijrah pada tahun 1991. Ketika tambang bas mini berharga 50 sen. Tidak ramai warga asing kecuali pelajar UIA.

Kekerapan himpunan di Kuala Lumpur boleh menjejaskan imej Kuala Lumpur dalam tempoh jangka panjang. Apa lagi Jalan Masjid India yang tidak jauh dari Dataran Merdeka merupakan syurga membeli-belah bagi pelbagai golongan di Lembah Kelang.

Diharapkan pihak berkuasa tidak terlalu kerap membenarkan perhimpunan. Jika tidak ia akan menjadi salah satu daripada budaya warga Kuala Lumpur.