Ramadan tiba lagi. Biarpun kali ini Noli menyambut Ramadan dalam keadaan berhadapan dengan masalah peribadi yang serius Noli akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah berkenaan.

Noli juga berdoa semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah dalam menangani masalah yang sedang Noli hadapi ini. Apabila semuanya sudah selesai pasti Noli akan menulis mengenai masalah yang Noli hadapi di blog ini.

Bagi sesiapa yang membaca catatan ini Noli harap anda dapat berdoa supaya Noli diberikan kekuatan untuk berhadapan dengan masalah ini dan diberikan petunjuk untuk menyelesaikannya.

Berbalik kepada Ramadan, selain peluang untuk beribadat dan menyucikan jiwa Noli suka pergi ke Bazar Ramadan. Ketika bertugas di Johor Bahru, Bazar Ramadan kegemaran Noli ialah di Taman Suria.

Hidangan berbuka puasa kegemaran Noli dari bazar berkenaan ialah nasi padang, air kathira, kacang pool dan banyak lagi.

Selepas berpindah ke Kuala Lumpur Bazar Ramadan kegemaran Noli ialah di Seksyen 14 Petaling Jaya. Makanan kegemaran Noi di situ ialah nasi ulam.

Bagi Noli Bazar Ramadan menyatukan masyarakat Malaysia kerana bukan sahaja masyarakat Melayu yang menjalani ibadah puasa sahaja membeli makanan di situ.

Noli boleh lihat mereka yang bukan Melayu juga membeli makanan di Bazar Ramadan. Kebanyakan daripada mereka membeli makanan dan hidangan Melayu terutamanya kuih-muih tradisional.

Noli berbangga melihat minat masyarakat bukan Melayu terhadap hidangan Melayu di bazar-bazar Ramadan. Kebanyakan daripada golongan bukan Melayu biasanya mencari hidangan atau kuih-muih yang mereka biasa makan sejak kecil.

Benarlah kata orang makanan boleh menyatu-padukan manusia……