Mungkin Noli terpaksa pergi ke negara jiran minggu depan kerana tugas, kata bos. Jadi untuk bersiap sedia Noli pun perbaharui pasport antarabangsa. Noli memilih Kompleks KDN Jalan Duta kerana terdengar teman-teman menyatakan urusan di situ cepat dan mudah. Lokasi juga menarik.

Memandu saja ke dalam kompleks itu Noli agak stress kerana agak sukar mencari tempat letak kereta. Apabila masuk Noli rasa seolah-olah berada di Kompleks KDN Putrajaya kerana rasa macam lebih kurang saja.

Ramai sangat orang di Kompleks KDN berkenaan hari ini. Noli pun beritahu seorang pegawai Imigresen mengenai urusan perbaharui pasport antarabangsa.

Pegawai itu mengarahkan Noli ke Kiosk perbaharui Pasport yang dipanggil Kippas kalau tidak silap. Noli cakap saya tidak pasti dapat melakukan urusan di situ. Namun pegawai itu kata tidak susah macam urusan di ATM saja.

Noli pun carilah mesin yang dimaksudkan dan cuba mengikut segala arahan satu demi satu. Masukkan pasport lama, masukkan Mykad, imbasan ibu jari, masukkan duit, kemudian masukkan passport lama dan gambar dalam ruang yang disediakan. Akhir sekali cetak resit. Hmmm mudah juga. Dalam tak berapa nak pandai Noli sempat mengajar beberapa pengguna Kiosk sebelah lagi.

Selepas itu berikan sahaja resit yang sudah dicetak kepada pegawai imigresen yang bertugas untuk memberikan pasport baru dan pasport lama yang sudah digunting.

Boleh tahan perkhidmatan di Kompleks KDN Jalan Duta tapi sila tambah tempat letak kereta dan pastikan tempat letak kereta tambahan di atas tanah lapang itu lebih teratur…ya.

Kiosk perbaharui lesen memandu sudah ada ke belum ya?