Noli kini berada di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam kerana tugas. Noli sampai di sini tiga hari yang lalu kerana kerja. Noli akan berada di sini lima hari kerana mesyuarat peringkat ASEAN. Rindu juga pada suasana hari penamaan calon di tanah air hari ini.

Ketika dalam teksi dalam perjalanan dari airport ke hotel Noli kagum dengan keadaan jalan raya di Brunei. Tenang setenang air di kali. Kereta tidak berapa banyak. Noli tanya pada pemandu teksi jalan raya di sini memang beginikah setiap masa? Dia jawab hanya sesak waktu orang keluar bekerja dan pulang bekerja saja.

Noli tinggal di Times Hotel berhampiran dengan Times Shopping Centre. Tapi shopping centre di sini tidaklah sehebat Berjaya Times Square. Times Shopping Centre di Brunei lebih kurang Amcorp Mall saja. Namun Noli boleh mendapatkan keperluan seperti broadband, sim card prepaid Brunei dan top up untuk survival lima hari.

Sewaktu berjalan-jalan dengan teman sepejabat dari Malaysia kami ternampak rombongan kerabat Brunei bersama polis pengiring bermotosikal. Teman Noli kagum melihat polis pengiring itu menggunakan motosikal BMW. Wow! Katanya…

Hari kedua di Brunei Noli perlu pergi ke Pusat Konvensyen Antarabangsa dari hotel. Noli berfikir bagaimana hendak mendapatkan teksi ke sana. Noli tanya pada pengawal keselamatan dia cakap tidak ada hentian teksi berhampiran hotel untuk kami menahan teksi. Mungkin  Noli perlu minta bantuan hotel untuk menelefon teksi. Kebanyakan orang Brunei memandu sendiri, katanya.

Tapi kata pengawal keselamatan itu dia akan habis bertugas lagi lima minit. Dia boleh hantarkan Noli ke Pusat Konvensyen Antarabangsa  itu kerana dia akan lalu di situ. Dia minta Noli tunggu lima minit lagi.

Selepas lima minit dia ajak Noli ke keretanya sekali tengok keretanya Mitsubishi yang sporty. Entah apa modelnya Noli tidak tahu. Kagum betul Noli. Teman Noli berbisik pengawal di pejabat kita naik basikal saja datang kerja atau paling tinggi motor.  Kami sama-sama ketawa.

Noli pun sempat bertanya padanya berapa harga seliter minyak di Brunei. Katanya 53 sen. Malamnya Noli makan di kedai mamak tidak jauh dari hotel. Di sana ada teh tarik yang dibuat menggunakan gula melaka. Noli pun kagum gula Melaka sampai ke Brunei pun masih terkenal..

Noli sempat juga berbual dengan beberapa orang Brunei. Katanya Brunei memang tidak ada nightlife dari dulu. Sebentar lagi Noli ada tugas di sini. Noli pasti akan kongsi di sini pengalaman lain di Brunei. Harap ada masa dan tidak terlupa.