Baru-baru ini Noli ada terbaca laporan bahawa sembilan ditahan mengedarkan risalah Sabah Sarawak Keluar Malaysia di Tuaran. Mereka diambil keterangan dan dibebaskan.

Kemudian Noli ada terbaca amaran tegas yang dikeluarkan pihak polis mengenai cubaan untuk menghasut dan meraih sokongan dalam usaha mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Polis menyifatkan usaha itu satu bentuk penderhakaan dan berikrar untuk mengambil tindakan.

Usaha meracun fikiran rakyat untuk keluarkan Sabah dan Sarawak ini jika tidak dibendung dari awal akan makan dalam umpama barah dalam tubuh seseorang.

Dan jika barah itu sudah mencapai tahap empat kemungkinan ia akan menjadi pemangkin kepada wujudnya kumpulan puak pemisah di Malaysia.

Jika sebelum ini kita terbaca Thailand, Filipina, Ukraine mempunyai puak pemisah tidak mustahil beberapa dekad lagi berita seumpama itu dilaporkan di Malaysia.

Masa akan menentukan sama ada perkara itu akan berlaku di Malaysia atau sebaliknya. Semoga Malaysia sentiasa dipelihara Allah….